TheMalaysiaTime

SPRM terbabit usaha antarabangsa lumpuh forum jual data curi

2026-03-06 - 09:24

SPRM geledah sebuah syarikat penyedia pengehosan web di KL dalam usaha antarabangsa melumpuhkan forum jenayah siber. PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa 14 buah negara berjaya melumpuhkan sebuah forum jenayah siber mengandungi data curi, dikenali sebagai LeakBase. Menurut SPRM, forum tersebut aktif sejak 2021 dan berfungsi sebagai platform dalam talian untuk memperdagangkan maklumat yang dicuri, seperti nombor kad kredit dan debit, maklumat perbankan, nama pengguna, kata laluan serta data peribadi dan korporat. SPRM menggeledah sebuah syarikat penyedia pengehosan web di Kuala Lumpur, seiring operasi antarabangsa bersama pada Selasa. “Pemeriksaan forensik siber mengesahkan bahawa forum LeakBase beroperasi secara aktif melalui pelayan yang dihoskan di premis tersebut, sekali gus membawa kepada penyitaan bahan bukti digital serta penutupan domain forum berkenaan,” menurut kenyataan. “Siasatan mendapati platform tersebut mengandungi sejumlah besar data akses akaun yang dikompromi, termasuk gabungan emel dan kata laluan yang sering digunakan untuk pengambilalihan akaun, penipuan serta aktiviti jenayah siber lain.” Menurut SPRM, forum tersebut mempunyai lebih 142,000 ahli berdaftar dan melebihi 215,000 mesej, dengan arkib pangkalan data yang digodam daripada pelbagai serangan siber berprofil tinggi. Operasi melibatkan tangkapan, serbuan rumah serta tindakan ‘knock-and-talk’ itu menghimpunkan badan penguatkuasaan antarabangsa, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat, Agensi Jenayah Kebangsaan United Kingdom, dan Biro Jenayah Siber Pusat Poland; serta polis Australia, Jerman, Belgium, Sepanyol, Portugal, Scotland dan Kosovo. “Penglibatan SPRM dalam operasi ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang di peringkat antarabangsa dalam memerangi jenayah siber serta penyalahgunaan data merentasi sempadan,” katanya.

Share this post: