SPRM siasat isu tatakelola, ketakteraturan kewangan UKM minggu depan
2026-02-27 - 04:24
SPRM berkata siasatan akan fokus perkara dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara, termasuk dakwaan ketidaktaturan pengurusan kewangan dan kutipan yuran tanpa kuasa UKM. PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mula menyiasat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) minggu depan susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung isu tatakelola dan ketakteraturan pengurusan kewangan institusi pengajian tinggi awam itu. Agensi antirasuah itu berkata, ia akan meneliti sama ada terdapat kelemahan tatakelola atau unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan atau pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasanya. “Siasatan akan tertumpu kepada perkara dibangkitkan dalam laporan berkenaan, termasuk dakwaan ketidaktaturan serius dalam pengurusan kewangan universiti, kutipan yuran tanpa kuasa dan hasil tidak direkodkan atau tidak diaudit dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan. Isnin lalu, LKAN 2026 Siri 1 mendedahkan ketakteraturan serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan yuran pelajar serta perbelanjaan di UKM, di mana Koperasi B-5-1788 mengutip yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta tanpa kuasa. Ia turut mendapati hasil yuran berjumlah RM32.36 juta tidak direkod sebagai hasil UKM daripada keseluruhan hasil yuran pelajar berjumlah RM60.77 juta. Menurutnya, audit juga mendapati RM6.69 juta perbelanjaan tidak teratur melibatkan bayaran komisen kepada ejen tidak layak sebanyak RM5.94 juta, selain RM107,907 belanja ke luar negara kepada enam individu bukan kakitangan UKM. Tambahan, satu perjanjian kerjasama dimeterai pihak universiti tanpa kelulusan menteri kewangan, manakala RM403,500 nilai perolehan tidak dibuat melalui Jawatankuasa Sebut Harga. Keesokannya, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim dilaporkan berkata UKM tidak lagi menggunakan khidmat koperasi bagi urusan pengambilan pelajar dan kutipan yuran, sebaliknya proses pengambilan dan kutipan yuran bagi program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dilaksanakan pihak universiti sepenuhnya. SPRM menegaskan tindakan akan diambil, jika terdapat bukti berlaku kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 atau undang-undang lain berkaitan. Katanya, ia komited memastikan setiap dana awam diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta menjaga kepercayaan terhadap institusi pendidikan tinggi negara.