TheMalaysiaTime

SPRM siasat cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway

2026-03-04 - 06:53

Sunway Bhd pada 12 Jan mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas keseluruhan 3.51 bilion saham IJM Corporation Bhd pada harga RM3.15 sesaham. PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat cadangan pengambilalihan IJM Corporation Bhd oleh Sunway Bhd, kata Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki. Azam berkata siasatan itu adalah antara tiga kertas siasatan yang dibuka SPRM berkaitan IJM. Menurutnya, kes pertama melibatkan siasatan pihak berkuasa United Kingdom berhubung dakwaan pengubahan wang haram membabitkan pelaburan kira-kira RM2.5 bilion di negara itu. “Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa UK dan akan mendapatkan maklumat lanjut. Pada masa sama, kami turut menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa di sana. “Setakat ini, tiada sebarang kesimpulan dicapai berhubung perkara tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat SPRM. Kes kedua pula melibatkan dakwaan pembayaran rasuah berkaitan satu projek, dan pengerusi IJM telah memberi keterangan kepada SPRM. “Siasatan kes ini masih panjang,” tambah Azam. Azam berkata siasatan terhadap cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway adalah siasatan terbaharu, dengan SPRM meneliti kemungkinan wujud unsur rasuah serta isu tadbir urus korporat. “Kami meneliti pelbagai aspek kerana antara pemegang saham IJM termasuk syarikat berkaitan kerajaan. Perkara ini menjadi perhatian serius kerana ia melibatkan dana awam,” katanya. Pada 12 Jan, Sunway Bhd mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas keseluruhan 3.51 bilion saham IJM Corporation Bhd pada harga RM3.15 sesaham. Berdasarkan penerimaan penuh dan dengan andaian tiada perubahan harga tawaran, urus niaga itu dianggarkan bernilai kira-kira RM11 bilion, yang akan dilunaskan melalui gabungan pembayaran tunai dan penerbitan saham baharu Sunway. Cadangan pengambilalihanitu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026, sekiranya diteruskan. SPRM telah melancarkan siasatan terhadap IJM melibatkan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai sekitar RM2.5 bilion. IJM menafikan dakwaan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dua individu yang mempunyai hubungan dengan syarikat itu, termasuk pengerusinya. Sebelum ini, Pengerusi Sunway, Jeffery Cheah, berkata syarikat itu bersedia menarik diri daripada cadangan pengambilalihan itu sekiranya pemegang saham IJM tidak menerima tawaran berkenaan sebelum tarikh akhir pada 6 April. Cheah menegaskan urus niaga itu dibuat semata-mata atas pertimbangan komersial, sambil menyifatkan IJM sebagai sebuah “platform pelaburan yang menarik” dan masa pelaksanaannya sebagai tepat.

Share this post: