TheMalaysiaTime

SPRM nafi tak pernah cuba hubungi Chai

2026-03-04 - 14:04

SPRM berkata, pihaknya telah beberapa kali cuba menghubungi James Chai, yang kini bekerja di UK, sebelum notis carian awam dikeluarkan. PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bekas pembantu Rafizi Ramli, James Chai, bahawa pengeluaran notis carian awam oleh pihaknya ialah tindakan yang berlebihan. Agensi antirasuah itu turut menyangkal dakwaan Chai bahawa SPRM tidak pernah cuba menghubunginya sebelum ini. Sebaliknya, menurut SPRM, pegawai penyiasatnya telah beberapa kali cuba menghubungi Chai, yang kini bekerja di United Kingdom, sebelum notis itu dikeluarkan. SPRM juga berkata, salah seorang pegawai penyiasatnya cuba menghubungi Chai melalui WhatsApp sejak 24 Feb menggunakan dua nombor telefon yang diketahui miliknya, namun tidak menerima sebarang maklum balas. “Selepas beberapa kali cuba menghubunginya tanpa sebarang respons, nombor pegawai penyiasat itu akhirnya disekat oleh salah satu nombor telefon Chai pada 26 Feb. “Justeru, dakwaan bahawa SPRM tidak cuba menghubunginya sebelum mengeluarkan notis tersebut adalah sama sekali tidak benar,” kata SPRM dalam kenyataan. BERITA LANJUT MENYUSUL

Share this post: