TheMalaysiaTime

SPRM gesa buat laporan rasmi dakwaan ahli politik minta duit

2026-03-27 - 09:30

SPRM komited meneliti setiap maklumat diterima dan menegaskan sebarang tindakan hanya akan diambil berdasarkan bukti kukuh selaras peruntukan undang-undang. PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa laporan rasmi dibuat membabitkan dakwaan permintaan dan pembayaran wang kepada seorang ahli politik. Agensi itu berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima mengenainya manakala maklumat yang tular masih belum dapat disahkan. “Sehubungan itu, SPRM menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat sahih supaya tampil membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan berasaskan fakta,” katanya dalam kenyataan. SPRM komited meneliti setiap maklumat diterima dan menegaskan sebarang tindakan hanya akan diambil berdasarkan bukti kukuh selaras peruntukan undang-undang. Selasa lalu, ahli perniagaan Victor Chin dalam dokumen setebal 40 muka surat mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR yang tidak dinamakan meminta RM10 juta secara tunai untuk menyelesaikan masalah perniagaannya dengan sindiket korporat. Chin turut mendakwa, seorang individu dikenali sebagai ‘Mr R’ bertindak bersama sindiket itu untuk menguasai NexG Bhd dan pegangan saham berkaitan melalui pemaksaan serta sekatan terhadap hak pemegang saham. Sebelum ini, bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau akan mendedahkan identiti ‘Mr R’. Rabu lalu, Naib Presiden PKR R Ramanan mengecam cubaan ‘tidak bertanggungjawab’ pihak tertentu untuk mengaitkannya terhadap dakwaan Chin, sambil menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya.

Share this post: