TheMalaysiaTime

SPRM cadang 3 akta baharu bendung seleweng dana awam

2026-03-23 - 08:50

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata tiga perundangan baharu itu bagi memastikan isu pendanaan awam termasuk kutipan derma oleh NGO tidak lagi menyebabkan rasuah berskala besar. PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan sekurang-kurangnya tiga akta baharu digubal supaya isu pendanaan awam termasuk kutipan derma oleh NGO tidak lagi menyebabkan rasuah berskala besar. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata undang-undang yang dicadangkan itu berkaitan salah laku dalam jawatan awam, akta kebajikan serta akta berkait pendanaan politik bagi mencegah konflik kepentingan. “Undang-undang pertama dicadangkan itu adalah berkaitan salah laku dalam jawatan awam, bertujuan mencegah setiap kelakuan tidak wajar dalam kalangan kakitangan kerajaan yang membuka ruang kepada kesalahan jenayah serius. “Manakala Akta Kebajikan pula bagi mencegah penyalahgunaan dana hasil derma awam oleh mereka yang menggelar diri mewakili NGO,” katanya, menurut Berita Harian. Azam berkata, akta berkait pendanaan politik pula paling peniting dalam mengelakkan rasuah dan pengaruh tidak wajar dalam politik di negara ini. “Pendanaan politik pula bukan isu baharu kerana ia dibincangkan sebelum PRU15 agi, tetapi belum dilaksanakan kerajaan. Namun isu ini tetap membimbangkan dan mendapat gesaan banyak pihak untuk penggubalan akta yang lebih ketat. “Ia termasuklah keperluan mendedahkan sumbangan dan pinjaman politik untuk mencegah konflik kepentingan, rasuah dan pengaruh tidak wajar dalam politik,” katanya. Sebelum ini media melaporkan penyelewengan dana awam seperti derma dan infak kebajikan dilihat semakin serius dalam masyarakat susulan peningkatan kes pengurusan dana yang tidak telus dan disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Azam mendedahkan perkara itu selepas lebih lima NGO berasaskan kutipan bantuan kini disiasat pihaknya, termasuk pertubuhan yang mengutip sumbangan atas nama Palestin. Ada juga individu, termasuk pempengaruh media sosial dikesan aktif mengutip dana dan infak daripada orang ramai, kononnya untuk disalurkan bagi tujuan kebajikan. Mengenai perundangan sedia ada bagi menangani salah guna dana awam, Azam berkata terdapat beberapa undang-undang sedia ada termasuk Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan bagi tujuan itu. Bagaimanapun, katanya, tiada akta khusus dana awam yang berdiri sendiri seperti di beberapa negara lain yang boleh memudahkan penyelewengan dana awam berskala mega berlaku. “Akta SPRM 2009 menjadi undang-undang utama berkaitan rasuah di Malaysia yang juga merangkumi kesalahan berkaitan penyelewengan dan salah guna kuasa penjawat awam atau individu berkaitan dana awam. “Kanun Keseksaan mempunyai peruntukan tindakan bagi kes seleweng atau penyelewengan amanah atau pecah amanah seperti Seksyen 409 yang boleh dikenakan ke atas penjawat awam atau individu yang cuba menyalahgunakan dana awam,” katanya.

Share this post: