TheMalaysiaTime

Solat mohon hujan di Istana Arau mula 8 pagi esok

2026-03-25 - 05:41

Setakat 6 pagi tadi, terdapat 16 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) hadapi cuaca panas, termasuk Perlis. (Gambar Bernama) KANGAR: Istana Arau akan melaksanakan solat sunat Al-Istisqa’ bagi memohon hujan di Dataran Istiadat pada 8 pagi esok. Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menasihati para jemaah yang datang agar menggunakan payung dari kenderaan menuju ke dataran itu dan membawa sejadah masing-masing, selain siap berwuduk dari rumah. Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. “Di samping turut menjaga kesihatan dengan memakai pelitup muka bagi yang mempunyai keuzuran kesihatan,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini. Sementara itu, baginda yang merupakan yang dipertua MAIPs bertitah, bagi pelaksanaan di masjid seluruh negeri, Doa Al-Istisqa’ akan dilaksanakan ketika khutbah Jumaat yang akan dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Perlis bermula 27 Mac ini sehingga tempoh dimaklumkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs). “Sebarang persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan Solat Al-Istisqa’, sila hubungi pihak JAIPs melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi di laman Facebook MAIPs,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra. Dalam pada itu, berdasarkan kemas kini status cuaca panas menerusi halaman Facebook rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, terdapat 16 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) setakat 6 pagi tadi, termasuk Perlis.

Share this post: