Sokongan orang muda, perpecahan PN tingkatkan peluang Umno di Johor
2026-03-19 - 23:40
Pada 2022, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN Johor, meningkat daripada 19 kerusi pada 2018, manakala PH memperoleh 12 kerusi dan Perikatan Nasional tiga. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Pemimpin Umno Johor berpandangan parti itu kini kembali mendapat momentum, didorong peningkatan sokongan dalam kalangan pengundi muda serta keadaan lawan yang dilihat tidak stabil. Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed berkata pemerhatian di lapangan menunjukkan konflik dalaman dalam Bersatu dan ketidaktentuan dalam Perikatan Nasional (PN) mungkin telah mengubah persepsi pengundi Melayu. Nur Jazlan Mohamed. Beliau turut mengaitkan prestasi ekonomi Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi sebagai faktor yang menguatkan sokongan terhadap parti itu. “Maklum balas di media sosial juga lebih positif. Dasar yang dibawa Onn Hafiz konsisten dan tepat. “Golongan muda Melayu dapat merasai sendiri peningkatan ekonomi di Johor,” katanya kepada FMT. Menurutnya, keadaan itu mendorong pengundi Melayu kembali menyokong Umno, walaupun sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) masih belum begitu ketara. “Namun pada masa sama, mereka juga tidak begitu cenderung untuk menyokong PN,” katanya. Nur Jazlan mengakui kejatuhan Umno pada 2018 berpunca daripada isu nasional seperti skandal 1MDB, tetapi menegaskan keyakinan terhadap parti itu kini semakin pulih. Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros berkata kedudukan Umno sebagai peneraju kerajaan negeri memberi kelebihan, dengan merujuk kepada kejayaan menarik pelaburan asing bernilai RM100 bilion tahun lalu. Noor Azleen Ambros. “Ia membuktikan keberkesanan pentadbiran Umno dalam memacu pembangunan ekonomi negeri,” katanya. Pada PRN 2022, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN Johor, meningkat berbanding 19 kerusi pada 2018. PH memperoleh 12 kerusi manakala PN tiga. Pilihan raya negeri Johor seterusnya dijangka diadakan selewat-lewatnya Jun 2027. Penganalisi Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata walaupun Umno dilihat kembali mendapat sokongan, masih ada beberapa ketidaktentuan, termasuk potensi kemunculan semula Parti Keluarga Malaysia serta ketegangan dalaman PKR. “Umno kini dilihat lebih stabil dan terbuka kepada perdamaian, dengan beberapa pemimpin yang sebelum ini digantung atau dipecat seperti Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein kembali bersama parti,” katanya. Syaza Shukri. Namun, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengingatkan keyakinan Umno mungkin banyak bergantung kepada kelemahan lawan. “Ramai menganggap Johor kubu kuat Umno, tetapi perkara itu perlu dinilai semula jika melihat keputusan PRU15. Cabaran utama ialah sikap terlalu yakin. “Dalam pertandingan pelbagai penjuru, kemenangan bukan sesuatu yang mudah untuk Umno,” katanya. Beliau merujuk kemungkinan pertembungan antara BN, PH dan PN, dengan Umno dijangka mempertahankan 40 kerusinya, manakala Amanah dan PKR masing-masing menyasarkan 20 dan 28 kerusi. Syaza turut berkata konsep “rumah bangsa” yang dibawa Umno menunjukkan fleksibiliti dalam kerjasama politik, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada parti itu mahu menjauhkan diri daripada PH atau bekerjasama dengan PN. “Semua kemungkinan ini menunjukkan strategi sebenar masih belum jelas,” katanya.