TheMalaysiaTime

Skuad Perpaduan Madani satukan sukarelawan pelbagai kaum sempena Thaipusam

2026-01-31 - 11:26

Sukarelawan Skuad Perpaduan Madani daripada pelbagai bangsa akan bertugas di gerai air percuma di Batu Caves bagi membantu kelancaran sambutan perayaan Thaipusam yang berlangsung esok. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kementerian Perpaduan Negara melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) melancarkan Skuad Perpaduan Madani yang digerakkan buat julung kalinya sempena sambutan perayaan Thaipusam tahun ini. Timbalan Menteri Perpaduan Negara R Yuneswaran berkata skuad itu melibatkan penyertaan sukarelawan daripada pelbagai bangsa yang bertugas di gerai air percuma (thaneer panthal) di Batu Caves bagi membantu kelancaran sambutan perayaan Thaipusam. Katanya, pelancaran skuad berkenaan selari dengan usaha berterusan kerajaan memperkukuh agenda perpaduan nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang. “Inisiatif ini membantu melancarkan perjalanan perayaan di samping menjadi simbol jelas perpaduan, keprihatinan dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia yang saling menyokong antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan media. Beliau turut merakamkan ucapan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada seluruh penganut agama Hindu di Malaysia sambil menyifatkan perayaan itu sebagai signifikan serta menzahirkan nilai-nilai murni seperti kepercayaan, pengorbanan, disiplin dan keazaman diri. Katanya, sambutan Thaipusam juga mencerminkan keindahan kepelbagaian budaya dan agama yang menjadi asas kepada keharmonian serta identiti nasional Malaysia sebagai sebuah negara majmuk. Katanya, dalam konteks masyarakat berbilang kaum, Yuneswaran menegaskan bahawa keharmonian antara agama dan budaya perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati, memahami serta meraikan perbezaan. “Kepelbagaian yang dimiliki merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Ia memperkayakan identiti nasional serta mengukuhkan fabrik sosial yang menjadi asas kekuatan negara. “Kepelbagaian inilah yang membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang unik, berdaya tahan dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya. “Justeru, marilah kita terus menghargai, meraikan dan memanfaatkan kekuatan kepelbagaian ini dalam usaha membina sebuah Malaysia yang lebih kukuh, harmoni dan makmur.”

Share this post: