TheMalaysiaTime

SKMM perluas inisiatif ‘Cashless Society’, perkasa komuniti digital

2026-03-06 - 03:14

Setakat 2025, pelaksanaan inisiatif ‘Cashless Society’ telah diperluas ke 174 lokasi di seluruh negara, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. (Gambar SKMM) PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus mempergiat agenda pendigitalan negara dengan memperluas pelaksanaan inisiatif Cashless Society ke Melaka, Wilayah Persekutuan dan Johor bagi memperkukuh kepercayaan digital serta memperkasakan komuniti dalam ekonomi tanpa tunai. Langkah itu dibincangkan menerusi sesi meja bulat bertemakan ‘Kepercayaan Digital dan Pemerkasaan Komuniti’, yang menghimpunkan wakil agensi Persekutuan dan negeri, pemain industri serta komuniti di Cyberjaya, baru-baru ini. SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sesi berkenaan menjadi platform strategik untuk memperhalusi keutamaan dalam ekosistem digital termasuk keselamatan siber, literasi digital, perlindungan pengguna serta pengukuhan keyakinan masyarakat terhadap transaksi tanpa tunai. “Disertai oleh 70 wakil organisasi, sesi ini dijangka meningkatkan literasi dan kepercayaan digital, membina keyakinan awam serta membolehkan komuniti luar bandar dan terpencil mengendali persekitaran digital dengan selamat,” menurut kenyataan itu. SKMM memaklumkan perbincangan itu juga menyelaraskan objektif dan hala tuju Inisiatif Cashless Society Fasa 4 2026 bersama Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta pihak berkepentingan. Menurut SKMM, inisiatif Cashless Society atau masyarakat tanpa tunai yang dilancarkan pada 2023 di 28 NADI bertujuan mempercepat penerimagunaan teknologi digital pada peringkat akar umbi. “Setakat 2025, pelaksanaannya telah diperluas ke 174 lokasi di seluruh negara, mencerminkan komitmen berterusan SKMM dalam memperkasakan komuniti digital,” menurut kenyataan itu. Inisiatif itu turut diperkasakan dengan elemen keselamatan Internet selaras dengan Kempen Internet Selamat, selain pembangunan kapasiti komuniti melalui program Train-the-Trainer dalam kalangan pengurus NADI. Menurut SKMM, inisiatif berkenaan juga meningkatkan kesedaran mengenai risiko serta penipuan dalam talian selaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA). “Melalui pendekatan pembayaran tanpa tunai sebagai pintu masuk kepada perkhidmatan digital, MCMC memanfaatkan peluasan liputan dan peningkatan kualiti Internet di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi memastikan komuniti mampu mengakses dan memanfaatkan teknologi secara optimum,” menurut kenyataan itu. Inisiatif Cashless Society telah menarik penglibatan 62,574 pengunjung bagi tempoh 2023 hingga 2025, merekodkan 26,022 transaksi tanpa tunai, melibatkan 4,572 pedagang digital baharu di premis digital serta melaksanakan 1,348 aktiviti kesedaran berasaskan empat tonggak utama program berkenaan.

Share this post: