SKMM kemuka 5,409 permohonan turun kandungan palsu sejak 2022
2026-03-03 - 00:54
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata SKMM sedang bekerjasama rapat dengan platform media sosial dan agensi penguatkuasaan untuk tangani penyebaran maklumat palsu, termasuk kandungan dijana AI. PETALING JAYA: Sebanyak 5,409 permohonan menurunkan pemalsuan imej dan deepfake dikemukakan kepada penyedia perkhidmatan antara 1 Jan 2022 hingga 15 Jan lalu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Menurutnya, 92% atau 4,955 kandungan sedemikian diturunkan susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). “Bagi kandungan palsu, sebanyak 59,967 permohonan telah dikemukakan, dengan 51,912 (87%) kandungan telah diturunkan. “Semua tindakan penurunan ini dibuat berdasarkan aduan diterima serta garis panduan komuniti yang ditetapkan setiap platform serta undang-undang tempatan berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen semalam. Fahmi menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berhubung langkah membendung penyebaran kandungan memfitnah yang dijana AI. Beliau berkata, SKMM sedang bekerjasama rapat dengan platform media sosial dan agensi penguatkuasaan untuk membendung penyebaran maklumat palsu, termasuk kandungan dijana AI. Jelasnya, SKMM juga sedang melengkapkan instrumen subsidiari lain di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bagi memperincikan tanggungjawab penyedia perkhidmatan berlesen menguruskan risiko dalam talian secara berkesan. Antara cadangan sedang dipertimbangkan termasuk pelabelan kandungan dijana atau dimanipulasi menggunakan AI seperti deepfake, manipulasi imej dan suara bagi membantu pengguna mengenal pasti kandungan berpotensi mengelirukan.