TheMalaysiaTime

SKMM gesa kemas kini iOS susulan risiko keselamatan

2026-03-19 - 15:51

SKMM memaklumkan peranti tidak dikemas kini mungkin terdedah kepada risiko keselamatan, termasuk akses tanpa kebenaran. (Gambar SKMM) KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa pengguna Apple segera mengemas kini peranti iOS mereka susulan penemuan pelbagai kelemahan keselamatan. SKMM memaklumkan Apple mengeluarkan kemas kini keselamatan penting yang menangani kelemahan termasuk rantaian eksploit yang dikenali sebagai ‘DarkSword’ yang menjejaskan peranti iOS, khususnya iPhone Apple. Kelemahan berkenaan boleh dieksploitasi secara serentak untuk menjejaskan peranti yang terlibat, sekali gus berpotensi membolehkan akses tanpa kebenaran dan aktiviti berniat jahat lain. “Sehubungan dengan itu, pengguna dinasihatkan supaya mengemas kini peranti mereka kepada versi iOS terkini bagi memastikan ia kekal dilindungi,” menurut kenyataan itu. SKMM memaklumkan peranti tidak dikemas kini mungkin terdedah kepada risiko keselamatan, termasuk akses tanpa kebenaran kepada data peranti dan maklumat peribadi, pemasangan perisian pengintip atau perisian hasad, kecurian mesej, fail atau data sensitif lain serta kemungkinan pemantauan atau pengawasan terhadap peranti. SKMM turut menasihatkan pengguna supaya mengaktifkan kemas kini automatik, mengelakkan melayari laman web mencurigakan, hanya memasang aplikasi daripada Apple App Store rasmi serta memulakan semula peranti selepas kemas kini dan sentiasa peka terhadap sebarang tindakan luar biasa. SKMM menyeru orang ramai mengamalkan tabiat digital selamat dan hanya bergantung kepada maklumat daripada sumber rasmi.

Share this post: