Sistem O&G bersepadu lindungi ekonomi daripada kejutan global, kata penganalisis
2026-03-13 - 04:04
Petronas mengurus aktiviti penerokaan dan pengeluaran huluan, menyelia operasi penapisan serta petrokimia, terlibat dalam pasaran gas asli cecair (LNG) global dan mengekalkan rangkaian perdagangan antarabangsa. PETALING JAYA: Industri minyak dan gas Malaysia yang dibangunkan secara bersepadu berasaskan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan syarikat minyak nasional Petronas kini menjadi benteng penting membantu melindungi negara daripada kejutan pasaran tenaga global, kata seorang penganalisis. Samirul Ariff, profesor adjung di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan penganalisis minyak dan gas, berkata kerangka institusi diwujudkan melalui PDA membolehkan Malaysia membangunkan sistem petroleum yang terselaras, sekali gus mampu mengurus rantaian bekalan kompleks serta bertindak balas terhadap gangguan di peringkat antarabangsa. Katanya, undang-undang yang meletakkan sumber petroleum negara di bawah pengurusan Petronas itu membolehkan Malaysia membina industri yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai, daripada penerokaan dan pengeluaran kepada penapisan, petrokimia serta perdagangan global. “Penentu sebenar keselamatan tenaga bukan sekadar jumlah hidrokarbon yang ada di dalam bumi, tetapi institusi dan sistem yang mengawal selia proses mengeluarkan, mengangkut dan mengagihkannya,” kata Samirul dalam satu analisis baru-baru ini. Menurutnya, daya tahan tenaga Malaysia berpunca daripada sistem bersepadu ini yang membolehkan negara mengurus sumber secara strategik, bukan sekadar bergantung kepada kuasa pasaran. Beliau berkata Petronas yang ditubuhkan di bawah PDA, memainkan peranan utama sebagai penyelaras dalam sistem itu. Sejak beberapa dekad lalu, syarikat itu berkembang menjadi syarikat tenaga bersepadu yang beroperasi merentasi keseluruhan rantaian nilai petroleum. Ia mengurus aktiviti penerokaan dan pengeluaran di peringkat huluan, menyelia operasi penapisan serta petrokimia, menyertai pasaran gas asli cecair (LNG) global dan mengekalkan rangkaian perdagangan antarabangsa. Samirul berkata penyelarasan sistem seperti ini memerlukan keupayaan institusi yang kukuh. “Industri minyak dan gas merupakan antara sistem industri paling kompleks di dunia,” katanya. “Ia melibatkan aktiviti penerokaan ribuan meter di bawah dasar laut, platform pengeluaran luar pesisir, saluran paip dasar laut, loji penapisan, kompleks petrokimia, terminal LNG serta rangkaian perkapalan global.” Beliau berkata struktur bersepadu yang dibina di sekitar Petronas membolehkan Malaysia mengurus sistem kompleks ini dengan lebih berkesan berbanding negara yang sektor tenaganya terpecah-pecah. Rizab hidrokarbon Malaysia juga agak kecil berbanding wilayah pengeluar minyak utama seperti Timur Tengah atau Amerika Latin. Namun negara masih mengeluarkan jumlah minyak dan gas asli yang signifikan daripada lembangan luar pesisir di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Pengeluaran domestik ini memberi Malaysia tahap ketahanan tertentu apabila pasaran global menjadi tidak menentu. Sebaliknya, negara yang tidak mempunyai kapasiti pengeluaran sendiri akan segera terdedah kepada gangguan bekalan. Samirul memberi contoh negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang hampir sepenuhnya bergantung kepada bekalan tenaga import. “Apabila pasaran antarabangsa terganggu, negara yang bergantung sepenuhnya kepada import akan segera berdepan kesulitan,” katanya. Namun beliau mengingatkan Malaysia juga tidak sepenuhnya kebal daripada turun naik harga global. Minyak komoditi diperdagangkan di peringkat antarabangsa dan harganya ditentukan berdasarkan penanda aras global. Malaysia juga mengimport sebahagian produk petroleum bertapis serta bahan mentah petrokimia bagi memenuhi permintaan domestik. Justeru perubahan harga minyak global masih boleh memberi kesan kepada kos pengangkutan, inflasi dan dasar fiskal kerajaan. Bagaimanapun, Samirul berkata sistem petroleum bersepadu yang diwujudkan melalui PDA memberi Malaysia lebih fleksibiliti untuk mengurus tekanan tersebut. “Kewujudan sumber hidrokarbon memang memberi kelebihan, tetapi ia sahaja tidak menentukan keselamatan tenaga sesebuah negara,” katanya. “Apa yang lebih penting ialah kerangka institusi yang mengawal sektor itu.” Daya tahan sistem tenaga Malaysia turut diakui Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Baru-baru ini, Anwar berkata negara mempunyai bekalan petroleum yang mencukupi bagi mengekalkan harga bahan api stabil walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran global ketika ini. “Hasil usaha Petronas dan pengurusan kerajaan, kita dapat memastikan bekalan petrol RON95 mencukupi serta mengekalkan harga RM1.99 seliter di bawah Budi95. “Ini sesuatu yang patut kita banggakan kerana apabila kita menyemak dengan Petronas, kita dapati bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya hingga Mei 2026,” kata Anwar yang juga menteri kewangan. Samirul berkata daya tahan tenaga Malaysia turut disokong oleh pembangunan infrastruktur yang luas dalam industri minyak dan gas. Sejak beberapa dekad lalu, negara melabur besar dalam kapasiti penapisan, kemudahan LNG, terminal penyimpanan serta kompleks petrokimia. Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang terletak di Kota Tinggi, Johor. (Gambar Petronas) Projek industri berskala besar seperti Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang mencerminkan keupayaan sektor hiliran Malaysia. Katanya, infrastruktur sedemikian memberikan lapisan perlindungan tambahan ketika berlakunya gangguan global. Negara yang mempunyai kapasiti penapisan domestik dan kemudahan penyimpanan lebih mampu memproses minyak mentah secara tempatan, mengekalkan rizab serta menyesuaikan rantaian bekalan apabila diperlukan. Keupayaan ini membantu meredakan kesan kejutan mendadak dalam pasaran tenaga antarabangsa terhadap ekonomi domestik. “Penyelarasan institusi dan infrastruktur bergerak seiring,” katanya. “Petronas menyediakan struktur organisasi yang mengurus sektor ini, manakala kemudahan industri Malaysia menjadi tulang belakang operasi yang memastikan bekalan tenaga terus terjamin.” Kepentingan keupayaan institusi ini lebih jelas apabila dibandingkan dengan negara yang mempunyai rizab minyak besar tetapi bergelut mengekalkan pengeluaran. Samirul memberi contoh situasi itu kepada Venezuela. Walaupun memiliki antara rizab minyak terbukti terbesar di dunia, pengeluaran negara itu merosot dengan ketara akibat kelemahan institusi, kemerosotan infrastruktur dan kehilangan kepakaran teknikal. “Venezuela mempunyai kira-kira 18 kali ganda lebih banyak minyak dalam bumi berbanding rizab yang diuruskan Petronas, namun pengeluarannya hanya sekitar separuh daripada pengeluaran harian Petronas,” katanya. “Perbezaan ini menunjukkan satu pengajaran yang jelas – sumber semula jadi sahaja tidak menjana kuasa ekonomi. Institusi yang berkesanlah yang menentukan.” Beliau berkata pengalaman Malaysia menunjukkan keselamatan tenaga bukan sahaja ditentukan oleh faktor geologi, tetapi juga tadbir urus. Samirul berkata kerangka institusi yang diwujudkan melalui PDA serta keupayaan operasi yang dibangunkan oleh Petronas membolehkan Malaysia menukar sumber hidrokarbon yang relatif sederhana menjadi aset strategik negara. “Dalam kes Malaysia, kewujudan Petronas memastikan sektor tenaga negara beroperasi sebagai satu sistem yang terselaras, bukan sekadar himpunan aset yang terpisah. “Asas institusi ini kekal sebagai antara kelebihan strategik paling penting Malaysia dalam landskap tenaga global yang semakin tidak menentu,” katanya.