Sistem ‘1 saluran’ ke universiti hanya reformasi teknikal, dakwa pemimpin DAP
2026-02-26 - 04:53
Semalam Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan akan perkenal sistem seragam ‘satu saluran, satu tawaran’ bagi kemasukan ke program matrikulasi dan universiti awam bagi mengelak pertindihan tawaran kepada pelajar. (Gambar fail) PETALING JAYA: Sistem ‘satu saluran, satu tawaran’ bagi kemasukan ke program matrikulasi dan universiti awam dilihat tidak memadai menangani isu ketidakadilan struktur dalam sistem kemasukan ke institut pengajian tinggi, dakwa seorang pemimpin DAP. Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Ho Chi Yang berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu melaksanakan reformasi lebih menyeluruh dengan menyatukan standard kemasukan berasaskan merit, keadilan sosial dan keperluan. “Pengenalan sistem ‘satu saluran, satu tawaran’ bagi permohonan kemasukan ke pra-universiti yang bertujuan mengelakkan pertindihan tawaran kepada pelajar, dilihat dapat mengurangkan pertindihan fungsi dan kerenah birokrasi. “Namun begitu, penyesuaian pada peringkat pengurusan ini belum menyentuh isu ketidakadilan struktur dalam sistem kemasukan ke universiti yang telah lama dipersoalkan oleh masyarakat,” katanya dalam kenyataan. Semalam Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan akan memperkenalkan sistem seragam ‘satu saluran, satu tawaran’ bagi kemasukan ke program matrikulasi dan universiti awam bagi mengelak pertindihan tawaran kepada pelajar. Pemohon akan menerima satu sahaja tawaran berdasarkan keputusan terbaik mereka di bawah sistem berkenaan. Mengulas lanjut Ho yang juga Adun Tanah Rata berkata penjelasan Zambry itu lebih tertumpu kepada aspek penyelarasan pentadbiran dan sistem tawaran tunggal tanpa menjawab secara langsung persoalan penyatuan standard akademik. Dakwanya, keadaan itu menimbulkan tanggapan bahawa isu pokok tidak disentuh secara menyeluruh. “Walaupun menteri menjelaskan ketiga-tiga laluan itu menggunakan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), hakikatnya ada perbezaan ketara dari segi struktur kurikulum, kaedah penilaian dan standard pemarkahan,” katanya. Tambahnya lagi, Pemuda DAP secara konsisten mencadangkan pelan reformasi pendidikan tinggi jangka pendek, sederhana dan panjang. Bagi reformasi jangka pendek, kerajaan digesa memastikan pelajar menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memperoleh PNGK 4.0 diberikan kursus serta universiti pilihan pertama. Ho berkata pihaknya turut mencadangkan peningkatan ketelusan sistem pra-universiti termasuk membuka akses data prestasi dan kemasukan kepada umum bagi tujuan analisis, penyelidikan dan perbincangan dasar. “Untuk reformasi jangka panjang pula perlu menumpukan kepada kajian menyeluruh ke arah penyatuan sistem pra-universiti, terutamanya antara STPM dan Matrikulasi, berlandaskan merit, keadilan sosial dan keperluan. “Dapsy menegaskan bahawa reformasi pendidikan tinggi tidak boleh terhenti pada penyesuaian teknikal semata-mata,” katanya.