Singapura jangka kenaikan tarif elektrik akibat konflik Asia Barat
2026-03-12 - 07:14
Kira-kira 95% tenaga elektrik di Singapura dijana menggunakan gas asli import. (Gambar AFP) SINGAPURA: Rakyat Singapura dijangka berdepan kenaikan tarif elektrik dalam beberapa bulan lagi apabila harga gas global meningkat akibat konflik berterusan di Asia Barat, kata Menteri bertanggungjawab bagi Tenaga dan Sains dan Teknologi, Tan See Leng. Beliau menggesa isi rumah dan perniagaan di republik itu memainkan peranan mengurangkan impak kenaikan harga tenaga dengan jimat elektrik dan menggunakan lebih banyak peralatan cekap tenaga. Menurutnya, walaupun beberapa langkah sedang dilaksanakan untuk memastikan Singapura mempunyai tenaga mencukupi, harga gas global terus melonjak akibat konflik itu. “Dengan keadaan global menjadi kurang pasti dan stabil, gangguan bahan api dan turun naik harga menjadi lebih kerap. “Kesan ini dirasai di Singapura apabila kita mengimport semua gas asli diperlukan untuk menjana kira-kira 95% daripada penjanaan elektrik,” katanya dalam catatan Facebook pada Khamis. Tegasnya, kerajaan sedia membantu isi rumah dan perniagaan, sekiranya perlu. “Diumumkan dalam Bajet 2026, isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang layak akan menerima 1.5 kali ganda jumlah biasa rebat U-Save atau sehingga SGD570 (SGD1=RM3.06) pada tahun kewangan ini. “Memandangkan keadaan di Asia Barat masih bergolak, kita memantau dengan teliti, terutamanya untuk kesan sekunder gangguan.” Sementara itu, Tan berkata, Singapura mewujudkan simpanan bahan api gas dan diesel yang boleh digunakan syarikat penjanaan kuasa, jika bekalan gas terganggu teruk serta mempelbagai sumber gas asli cecair (LNG) diimport. Katanya, langkah itu antara pelbagai barisan pertahanan kerajaan untuk memelihara keterjaminan tenaga Singapura.