Sindiket jual semula minyak masak peket sebagai ‘minyak terpakai’ tumpas
2026-03-06 - 05:33
Sindiket memindahkan minyak masak bersubsidi yang digunting ke tong besar, sebelum diisi dalam tangki untuk dijual kepada sektor industri. (Gambar KPDN) PETALING JAYA: Lima ditahan, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur serta Putrajaya menumpaskan sindiket menjual semula minyak masak bersubsidi sebagai ‘minyak terpakai’ kepada pihak industri. Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, tiga warga asing dan dua warga tempatan berusia 20 hingga 30-an ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama pada 2 tengah malam tadi. Menurutnya, tiga warga asing yang dibayar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan ditugaskan khusus untuk menggunting peket minyak masak daripada pembungkus di Negeri Sembilan, Selangor dan ibu negara, manakala dua warga tempatan berperanan pemandu lori menghantar bekalan minyak kepada pembeli. Jelasnya, sindiket itu memindahkan minyak masak bersubsidi yang digunting ke tong besar, sebelum diisi dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) untuk dijual kepada sektor industri. “Minyak masak peket bersubsidi ini dibeli pada harga sekitar RM2.50, namun ia dijual semula kepada industri sebagai minyak terpakai dengan harga melebihi RM3 sekilogram. “Dalam serbuan ini, KPDN merampas kira-kira 12,000kg minyak masak yang dianggarkan bernilai RM30,000, selain menyita dua lori lima tan,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah sindiket itu dipercayai aktif sejak dua tahun lalu. Beliau berkata, sindiket itu kemudian melupuskan ribuan sisa plastik peket minyak masak di sebuah kawasan di Johor. “KPDN memandang serius isu ketirisan barang kawalan dan giat mengesan rantaian pembekal bersekongkol dengan sindiket berkenaan. Tindakan tegas dan tangkapan susulan dijangka dilakukan dalam masa terdekat.” Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.