Sindiket edar dadah tumpas, polis rampas syabu hampir RM2.65 juta
2026-03-18 - 05:31
Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Polis berjaya merampas lebih 53kg dadah jenis syabu bernilai hampir RM2.65 juta selepas menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dalam tiga operasi di Sabah, minggu lalu. Rampasan hasil tiga operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAB) dan Tawau itu turut membawa penahanan lima individu termasuk satu keluarga dan lelaki warga emas. Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata operasi pertama kira-kira 11.15 malam 11 Mac lalu membabitkan penahanan lelaki tempatan berusia 36 tahun selepas tiga kotak mencurigakan dikesan melalui mesin pengimbas di laluan ketibaan antarabangsa. “Siasatan mendapati suspek berperanan sebagai ‘transporter’ yang membawa masuk dadah ke negeri ini. “Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 30.3 kg syabu yang disorok menggunakan taktik licik iaitu dimasukkan secara sistematik ke dalam kotak kayu simpanan botol wain bagi mengaburi pihak berkuasa. “Dadah itu dipercayai cuba diseludup masuk sebelum diserahkan kepada individu lain di negeri ini,” katanya dalam sidang media di IPK Sabah hari ini, menurut Harian Metro. Katanya, polis pada 13 Mac kemudiannya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dalam serbuan di sebuah premis stor penyimpanan kenderaan di Tawau. “Pemeriksaan membawa kepada penemuan tiga bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 3,071.04 gram bernilai RM214,973. “Susulan serbuan itu, satu lagi operasi dilakukan pada hari sama di Kampung Jawa, Jalan Mawar, Tawau kira-kira 8.30 malam. Tiga individu termasuk seorang wanita dan warga emas berusia 73 tahun ditahan,” katanya. Beliau berkata, pemeriksaan menemukan 20 paket syabu seberat 20,471.12 gram dengan nilai anggaran RM1.43 juta yang disembunyikan di dalam bilik berkunci. “Turut dirampas beberapa kenderaan termasuk motosikal, lori tiga tan dan sebuah Toyota Alphard dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan ini. “Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.