TheMalaysiaTime

Sinar rezeki buat golongan daif dan dilupakan

2026-03-18 - 00:01

Ibu 8 anak Aida Sharina Mohd Zubri adalah antara 85 penerima Bakul Makanan FFS di PPR Desa Rejang. (Bani Jamian@FMT) KUALA LUMPUR: Di sudut ruang tamu sempit yang bersesak dengan pelbagai barangan, Aida Sharina Zubri terpaksa menggagahkan diri bangun menyediakan makanan buat lapan cahaya matanya. Di sebalik dinding flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, yang dihuni ibu berusia 37 tahun ini bersama tiga anak istimewa, empat anak kecil dan seorang bayi — kesemuanya lahir selang setahun — kelangsungan hidup menjadi perjuangan yang tiada titik noktah. Aida baru sahaja melahirkan anak bongsunya dan kudratnya masih rapuh menahan kesakitan akibat pembedahan. Tubuh anak-anaknya pula kelihatan terlalu kecil dan kurus berbanding rakan sebaya, satu petanda masalah pertumbuhan terbantut. Kunjungan FMT ke kediaman mereka langsung tidak mencetuskan sebarang reaksi. Tiada rasa teruja melihat tetamu yang bertandang keluar masuk, jauh berbeza daripada senario lazim keluarga besar yang kebiasaannya gamat dengan hilai tawa dan keriuhan. Cuba untuk terus bertahan adalah satu ujian berat buat Aida. Menurutnya, beberapa orang anaknya masih amat memerlukan bekalan susu dan lampin pakai buang. Rodhiah Dahaban masak hidangan sardin yang diperoleh menerusi inisiatif ‘Bakul Makanan’ FFS sebagai lauk untuk lima anaknya berbuka puasa. (Bani Jamian@FMT) “Contohnya, salah seorang anak istimewa saya masih tak mampu bangun walau untuk membuang air. Saya tak dapat gambarkan betapa peritnya dugaan ini,” luahnya kepada FMT. Ditinggalkan suami tanpa sebarang punca pendapatan, Aida kini hanya bergantung harap pada sokongan kewangan daripada Baitulmal. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, beliau turut menerima sumbangan makanan daripada Free Food Society (FFS) menerusi program ‘Bakul Makanan’, inisiatif pertubuhan sukarela itu. Dua kali sebulan, sukarelawan FFS akan berkunjung membawa bakul makanan berisi keperluan asas seperti beras, tepung, makanan dalam tin, sayur-sayuran dan seekor ayam. Buat Aida, sumbangan ini menjadi kelegaan besar dalam menempuh cabaran getir untuk mengisi sembilan perut, termasuk dirinya, setiap hari. “Sejak FFS mula sumbangkan makanan, beban yang saya pikul ini rasa ringan sedikit. Saya yakin kami akan baik-baik sahaja, asalkan FFS terus sudi membantu,” katanya. Kini, satu-satunya harapan Aida adalah agar FFS terus menghidupkan program itu. “Andai kata FFS tiada, maka tiada lagilah tempat kami bergantung harap. Cuma FFS satu-satunya talian hayat kami,” katanya. Masalah meluas Situasi dihadapi Aida bukanlah kisah terpencil. Ribuan jiwa lain, yang turut menghuni flat PPR seperti di Desa Rejang ini, masih terus terperangkap dalam kepompong kemiskinan bandar. Di saat bangunan pencakar langit megah terbina di sekeliling mereka, golongan miskin tegar pula semakin jauh terhumban ke lembah keperitan. Ramai dalam kalangan mereka datang daripada keluarga yang berpecah-belah. Rodhiah Dahaban, 49, contohnya, seorang ibu lima anak terpaksa berhempas-pulas menyara keluarga bersendirian selepas ditinggalkan suami sejak lima tahun lalu. Pendapatannya sebagai pekerja pembersihan ibarat kais pagi makan pagi. Keluarga Rodhiah merupakan satu daripada 85 keluarga di PPR Desa Rejang yang mendapat manfaaat menerusi inisiatif ‘Bakul Makanan’ FFS. Wang yang dapat dijimatkan daripada perbelanjaan dapur itu disalurkan pula untuk menampung kos persekolahan dan perbelanjaan perubatan. Biarpun begitu, bekalan tersebut kadangkala tidak cukup, memaksa Rodhiah untuk lebih mengikat perut. “Ada masanya kami makan nasi berlaukkan telur dan kicap sahaja. Mujurlah anak-anak saya sangat memahami. Mereka tak pernah sekali pun merungut walaupun tak dapat rasa makan ayam, ikan atau daging,” katanya kepada FMT. Walaupun dihimpit pelbagai dugaan, Rodhiah tetap mensyukuri ihsan yang dihulurkan oleh pihak FFS. “Sudah semestinya, kami amat berbesar hati jika dapat lebih banyak bantuan makanan daripada FFS,” tambahnya. Pada fasa permulaan, sebuah bakul makanan FFS lazimnya dibekalkan dengan seekor ayam dan sedikit sayur-sayuran, namun memandangkan bilangan keluarga yang bergantung harap padanya bertambah daripada 75 kepada 85 buah keluarga, saiz agihan bekalan makanan itu terpaksa dikecilkan bagi menampung keperluan semua. Anak-anak yang membesar dalam persekitaran serba kekurangan ini juga pantas belajar berdikari dan meneruskan hidup. Anak ketiga Rodhiah, Fikri Khairil Azuan, berkongsi dengan FMT bahawa dia ada kalanya sanggup menahan lapar asalkan perut adik-adiknya terisi. Fikri Khairil Azuan. Remaja berusia 16 tahun itu mendedahkan, apabila wang belanja atau bekalan makanan di rumah tidak cukup, dia akan mengambil upah bekerja di kedai makan selepas tamat sesi persekolahan mahupun ketika cuti sekolah demi menampung perbelanjaan keluarganya. Walaupun terpaksa merempuh pelbagai ranjau dan onak kehidupan, Fikri tidak pernah memadamkan impiannya untuk membina masa depan yang lebih cerah. Dia bercita-cita untuk menjadi askar, bukan sekadar untuk membanggakan keluarga, malah demi menampung kehidupan mereka. Ihsan sesama insan Gerakan bendera putih ketika wabak Covid-19 sebelum ini membakar semangat sekumpulan individu sejiwa untuk bangkit bertindak. Presiden FFS Ali Abdul Kadir dan isterinya, Tina Saw Abdullah kongsi duka cita saksi ramai orang hilang pekerjaan dan tempat tinggal, serta tidak cukup makanan, ketika wabak Covid-19.(Bani Jamian@FMT) Pada 2021, bekas pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Ali Abdul Kadir bersama isterinya, Tina Saw Abdullah, dibantu rakan-rakan yang berpengalaman dalam dunia NGO, menggerakkan inisiatif kutipan derma untuk membantu golongan yang terdesak memerlukan makanan dan keperluan asas. Malangnya, kekangan dana yang tidak menentu pada ketika itu menyebabkan agihan bekalan makanan kadangkala terjejas. Sungguhpun diuji dengan pelbagai halangan, inisiatif murni itu dengan pantas berkembang menjadi sebuah program jangka panjang yang konsisten demi mengenyangkan perut golongan yang memerlukan. Keluarga miskin tegar yang terpilih akan dibekalkan dengan pek makanan kering seperti beras, susu pekat, sardin, tepung gandum, gula, kicap, dan mi kuning pada setiap awal bulan. Menjelang pertengahan bulan pula, bakul mereka akan diisi dengan bawang, ubi kentang, seekor ayam, santan, serta beberapa keperluan dapur yang lain. Penolong bendahari FFS Rozini Amin mengimbau bagaimana dana pada asalnya mencurah-curah masuk berikutan kesedaran masyarakat tentang krisis mendesak ketika itu. Rozini Mohd Amin. “Walaupun NGO baru berusia setahun jagung, kami tak putus-putus dapat sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat besar,” katanya kepada FMT. “Namun, apabila wabak berakhir, sumber dana perlahan-lahan menyusut, mendorong kami alihkan tumpuan ke arah projek yang lebih mampan. Bertitik tolak dari situlah lahirnya inisiatif bantuan makanan dan pendidikan ini.” Beliau berkata, dengan meringankan beban ibu tunggal mengisi perut anak-anak, diharapkan agar sisa pendapatan yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kelengkapan sekolah. Bagaimanapun, beliau akur ada ketikanya kekangan dana menyebabkan FFS tidak dapat menunaikan janji mengedarkan bantuan makanan. Kini, Rozini merayu ihsan orang ramai untuk terus menyumbang demi memastikan kelangsungan program bantuan makanan FFS di PPR Desa Rejang. “Jika setiap individu hulurkan sumbangan yang kecil, jika dihimpunkan pasti jadi besar jumlahnya. Jadi, tiada nilai sumbangan yang terlalu kecil di mata kami,” tambahnya. FFS memerlukan dana minimum RM200,000 setahun bagi menampung kos program bantuan makanan serta inisiatif kelas tuisyen. Orang ramai yang berhasrat menyokong misi murni ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank Persatuan Makanan Ehsan (5643-2461-7332). Setiap sumbangan yang disalurkan kepada FFS melayakkan penderma mendapat pelepasan cukai. Bagi urusan pengeluaran resit dan sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi freefoodsociety@gmail.com.

Share this post: