Siasatan SPRM hanya libat individu ada kaitan dengan syarikat, kata IJM
2026-03-24 - 11:01
IJM sebelum ini nafi dakwaan pengubahan wang haram babit 2 individu yang dikaitkan dengannya, serta tidak tahu-menahu tentang siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa UK. PETALING JAYA: IJM Corporation Bhd menjelaskan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berjalan melibatkan individu-individu yang dikaitkan dengan syarikat itu, bukannya IJM sebagai sebuah entiti korporat. Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, IJM berkata, pihaknya telah menerima sepucuk surat daripada SPRM yang menjelaskan bahawa siasatan itu ‘terhad kepada beberapa individu yang dikaitkan dengan IJM, dan bukan syarikat itu sendiri’. Penjelasan itu dibuat selepas beberapa bulan syarikat itu menjadi tumpuan susulan serbuan pada Januari ke atas pejabat IJM, serta pembekuan beberapa akaun bank peribadi dan syarikat. Agensi antirasuah telah membuka tiga kertas siasatan yang memberi tumpuan kepada tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai RM2.5 bilion. IJM telah menafikan dakwaan pengubahan wang haram membabitkan dua individu yang dikaitkan dengannya, termasuk pengerusinya. Syarikat itu juga menyatakan, pihaknya tidak tahu-menahu tentang sebarang siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa United Kingdom. Siasatan ini juga berlangsung dalam pada Sunway Bhd mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk kesemua 3.51 bilion saham IJM pada harga RM3.15 sesaham. Jika diterima sepenuhnya, tawaran itu akan berjumlah sekitar RM11 bilion dan akan dilunaskan melalui gabungan wang tunai serta saham baharu Sunway. Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang suku ketiga tahun ini jika ia diteruskan.