Shafie sangkal tuntutan terbaru Filipina ke atas Sabah
2026-02-26 - 09:14
Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, Malaysia takkan terima sebarang naratif yang abaikan maruah, keselamatan dan hak rakyat Sabah. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Presiden Warisan Shafie Apdal menolak tuntutan terbaru Filipina ke atas Sabah, menegaskan bahawa kedudukan negeri itu dalam Malaysia adalah ‘muktamad dan tidak boleh dirundingkan’. Shafie berkata, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sendiri mengesahkan sokongan rakyat Sabah dalam pembentukan Malaysia pada 1963. “Sabah ialah rakan kongsi yang setara dalam persekutuan ini,” kata bekas ketua menteri itu dalam kenyataan. Shafie menegaskan, tiada undang-undang asing mahupun peta mana-mana negara boleh mengatasi kehendak rakyat, sambil mengingatkan bahawa negeri itu ditadbir di bawah Perlembagaan Persekutuan dan telah sebati sepenuhnya dalam sistem politik dan perundangan Malaysia. Beliau turut menyatakan bahawa rakyat Sabah mengambil bahagian dalam pilihan raya di Malaysia, memilih wakil ke Parlimen, dan tertakluk pada undang-undang Malaysia. “Malaysia mentadbir Sabah sepenuhnya dan secara berterusan. Ini bukan pendapat, tetapi fakta,” katanya. Shafie seterusnya berkata, Malaysia tidak akan menerima sebarang naratif yang mengabaikan maruah, keselamatan dan hak rakyat Sabah. “Sabah bukan sekadar tuntutan abstrak. Ia tanah air kita,” katanya. Minggu lepas, jurucakap hal ehwal maritim Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina Rogelio Villanueva berkata, negaranya kekal menuntut kedaulatan ke atas Sabah. Beberapa hari lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud menyangkal tuntutan tersebut, menyifatkannya sebagai lapuk dan menegaskan bahawa Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatannya. Tuntutan Filipina ke atas Sabah bersandar pada hujah bahawa Syarikat Borneo Utara British tidak mempunyai hak kedaulatan, dan kerajaan British tidak memperoleh kedaulatan daripada Sepanyol melalui Protokol 1885 mahupun daripada Syarikat Borneo Utara British melalui Perjanjian Perlindungan 1888. Mereka di Filipina yang menuntut hak ke atas Sabah berhujah bahawa seksyen bawah Perintah dalam Majlis membuktikan bahawa kerajaan British hanya menuntut kedaulatan ke atas Borneo Utara buat pertama kalinya pada 15 Julai 1946.