TheMalaysiaTime

Setahun letupan Putra Heights, mangsa rai Syawal penuh kesyukuran

2026-03-21 - 23:10

Letupan saluran paip gas pada 1 April 2025 menggegarkan kawasan kejiranan itu, dengan api dan bahangnya merosakkan rumah serta kawasan berhampiran, selain penduduk terpaksa menyelamatkan diri. PETALING JAYA: Aidilfitri ini, kesyukuran mempunyai makna jauh lebih mendalam buat mangsa letupan saluran paip gas Putra Heights di Subang Jaya yang masih berdepan kesan daripada kejadian hampir setahun lalu. Bagi kebanyakan mangsa, Syawal tahun ini bukan lagi tentang persiapan, kemeriahan atau rumah terbuka, tetapi renungan dan kesyukuran masih mempunyai insan tersayang di sisi mereka. Api dan bahang daripada letupan saluran paip gas pada 1 April 2025 memaksa penduduk melarikan diri. Daeng Amir Hamzah dan Siti Noor Lianna Misli yang berada di Melaka ketika kejadian, terkejut melihat rakaman video letupan itu di media sosial. “Pada mulanya, saya sangka video itu mungkin prank, tetapi rupa-rupanya kejadian sebenar. Saya sangat terkejut. Mula-mula saya fikir stesen minyak yang terbakar, tetapi rupanya letupan paip gas,” kata Amir kepada FMT. Amir dan Lianna bersama kereta mereka yang rosak dalam letupan tahun lalu. Setibanya di lokasi kejadian, Lianna berkata, kawasan kejiranan itu hampir tidak dikenali lagi, dengan pokok hangus, persekitaran rosak akibat bahang dan bau tajam berlegar di ruang udara. Rumah mereka mengalami kerosakan besar dari segi struktur dan kesan bahang, dengan bumbung serta siling runtuh dan retakan besar di dinding. Pun begitu, pasangan itu bersyukur keluarga mereka, termasuk enam anak, ibu Lianna dan adiknya tidak cedera. “Saya bersyukur keluarga kami tidak cedera. Saya juga bersyukur kami tiada di sini. Raya sentiasa ada, jadi yang penting kami semua selamat.” Abdul Ghani Abdul Aziz, 58, yang berada di Terengganu bersama keluarga isterinya apabila seorang jiran menghubunginya, teringat kata-kata masih segar dalam ingatannya: “Ghani, kita dah tak ada rumah.” Rumahnya musnah, dengan bumbung runtuh, tingkap pecah dan mengalami kebocoran air akibat kerosakan paip serta tangki. “Saya bersyukur tiada nyawa terkorban. Jika ada, keadaannya pasti lebih teruk.” Bagi Alina Ariffin, 53, letupan itu berlaku ketika beliau bersama suami dan dua anak mereka bersiap untuk bersarapan di rumah. Abdul Ghani berkata tingkat atas rumahnya paling teruk terjejas akibat kebakaran itu. Katanya, paling terkesan bukan kerosakan yang berlaku, tetapi semua orang berjaya menyelamatkan diri. “Jika letupan berlaku pada hari kerja biasa, mungkin ada kemalangan jiwa kerana berlaku dekat jalan raya dan banyak kereta lalu di kawasan itu pada hari kerja. “Ia berlaku pada cuti umum ketika semua orang masih tidur dan kawasan ini tidak begitu sibuk. Dengan cara itu, kita perlu bersyukur.” Bagi Ooi Sui Li dan Loh Poh Heng, letupan itu bukan saja meninggalkan kenangan terhadap ketakutan dan kehilangan, tetapi rasa bersyukur yang mendalam. “Satu perkara yang saya lihat daripada kejadian ini ialah kami sangat bersyukur masih hidup. Setiap hari adalah bonus. Bersyukurlah kerana anda masih hidup,” kata Ooi.

Share this post: