TheMalaysiaTime

Sesi sekolah berjalan seperti biasa, tiada ketetapan laksana PdPR

2026-03-16 - 11:44

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, KPM akan teliti secara menyeluruh pelaksanaan PdPR agar keputusan yang dibuat ambil kira kepentingan warga pendidik, ibu bapa dan murid. PETALING JAYA: Tiada sebarang ketetapan dibuat berkaitan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa buat masa ini, menurut Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad. Mohd Azam memaklumkan, keutamaan KPM adalah untuk memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas, pada masa sama aspek kebajikan dan kesejahteraan semua pihak terpelihara. “KPM prihatin terhadap semua kegusaran yang dibangkitkan masyarakat berhubung berita yang tular mengenai kemungkinan pelaksanaan PdPR,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama. Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, KPM akan meneliti secara menyeluruh pelaksanaan PdPR bagi memastikan keputusan yang akan dibuat mengambil kira kepentingan warga pendidik, ibu bapa dan murid. Pada Khamis lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pelaksanaan aturan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah (WFH) dilihat sebagai antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam. Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.

Share this post: