‘Serasi’ dengan menteri DAP atas hal perniagaan, jelas Raja Nong Chik
2026-03-01 - 07:54
Veteran Umno Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata beliau kini fokus sepenuhnya dalam bidang perniagaan dan senang berurusan dengan menteri DAP lebih sedia membantu. PETALING JAYA: Bekas pemimpin Umno, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menjelaskan kenyataannya yang kelihatan “serasi” dengan DAP baru-baru ini berdasarkan kapasitinya sebagai ahli perniagaan. Beliau yang kini pengarah Metropolitan Lake Development Sdn Bhd (MLD) mendedahkan lebih senang berurusan dengan menteri daripada DAP berbanding Umno mahupun PKR dalam hal perniagaan. “Saya bercakap berdasarkan pengalaman peribadi berkaitan perniagaan memandangkan saya kini fokus sepenuhnya dalam bidang tersebut. “Berbanding cuba bertemu menteri daripada PKR atau Umno untuk mendapatkan bantuan dan panduan, saya dapati menteri DAP lebih sedia membantu,” katanya kepada FMT. Bagaimanapun tegasnya, keserasian profesional itu tidak mengubah pegangan politiknya. “Saya masih penyokong kuat Umno di peringkat akar umbi,” katanya memetik pengalamannya baru-baru ini bersama Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh ketika mengerjakan umrah di Makkah bagi membuktikan kesetiaannya. Kenyataan Raja Nong Chik lebih selesa berurusan dengan menteri DAP tular di media sosial dan menarik perhatian ramai pihak memandangkan statusnya sebagai veteran Umno dan bekas seteru Pakatan Harapan. “Entah bagaimana saya boleh serasi dengan menteri-menteri DAP walaupun saya daripada Umno. Mungkin Akmal Saleh akan marah saya, tetapi itulah hakikatnya,” katanya secara berseloroh. Difahamkan, kenyataan itu dibuat ketika beliau berucap pada program pelancaran Dewan Perniagaan Cina Muslim dan Silaturrahim Komuniti Kepong’Gi bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh semalam.