Serangan peluru berpandu Iran gegarkan Tel Aviv
2026-03-06 - 02:24
Pasukan bomba di luar bangunan di pinggir Tel-Aviv yang terkena serangan peluru berpandu. (Gambar AFP) TEL AVIV: Serangan peluru berpandu terbaru dari Iran mencetuskan siri letupan di Tel Aviv yang menyebabkan kebakaran di sebuah bangunan kediaman berhampiran pusat komersial Israel pada Jumaat. Serangan itu menyusul tindakan Israel memperluaskan kempen menentang Hizbullah, sambil berikrar untuk membalas tindakan kumpulan militan disokong Tehran itu kerana turut serta dalam konflik susulan pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada Sabtu lalu. Penyiar rasmi Iran melaporkan Tehran melepaskan peluru berpandu “menyasarkan lokasi penting di Tel Aviv” selepas tentera Israel memaklumkan mereka giat memintas peluru berpandu Iran pada lewat malam Khamis. Wartawan AFP di Tel Aviv melaporkan terdengar dua gelombang letupan bergema di seluruh bandar itu. Kesan roket turut kelihatan menerangi langit di Netanya, bandar di utara Tel Aviv yang terletak di pesisir Mediterranean. Selepas serangan itu, perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA) memaklumkan pasukannya melawat beberapa lokasi yang dilaporkan terkena serangan, namun tiada mangsa cedera dilaporkan. Polis Israel dalam kenyataan berasingan berkata, mereka berada di lokasi peluru berpandu jatuh di tengah Israel dan terdapat kerosakan harta benda, tetapi tiada kecederaan. Satu peluru berpandu dilaporkan terkena sebuah bangunan di pinggir Tel Aviv, memaksa penduduk berpindah keluar atas faktor keselamatan. Di lokasi kediaman lain dekat pusat ekonomi Israel, pasukan bomba berusaha memadam kebakaran akibat serpihan yang jatuh selepas serangan roket Iran dipintas. Home Front Command Israel mengeluarkan beberapa amaran serangan roket pada awal pagi Jumaat ke atas komuniti berhampiran sempadan Lubnan.