Senyuman Dhia Amanda lebih manis Aidilfitri ini
2026-03-20 - 00:40
Dhia Amanda Saifol kini hidup lebih selesa dan gembira bersama keluaraganya selepas pembedahan pada 16 Dis lalu. PETALING JAYA: Selama hampir enam tahun, Dhia Amanda Saifol Sujak hanya mampu ‘tersenyum tawar’ kerana menahan kesakitan tidak terucap akibat penyakit gangguan saraf jarang ditemui, GNAO1. Keadaan itu menyebabkan tubuh kecil Dhia Amanda sentiasa tersentak serta mengalami kekejangan yang menyakitkan dan sukar dikawal sehingga mampu mencederakan diri. Namun Aidilfitri kali ini mungkin sedikit berbeza buat anak kecil itu apabila kesan gangguan saraf itu semakin berkurangan selepas menjalani pembedahan stimulasi otak dalam (DBS) pada 16 Dis lalu. FMT yang berkunjung ke kediamannya baru-baru ini mendapati anak kepada pasangan Saifol Sujak Sulaiman dan Nur Liyana Safiea itu ini mampu duduk bersandar dengan lebih tenang dan tubuh tidak lagi dipenuhi kesan lebam. Satu momen paling menyentuh hati melihat Dhia Amanda tersenyum manis dalam gambar dirakam dalam kunjungan itu. “Aidilfitri nanti mungkin kami boleh merayakan dengan meriah bersama Amanda, sebelum ini ada kalanya terpaksa tunggu dalam kereta disebabkan keadaannya (sentiasa tersentak serta mengalami kekejangan menyakitkan). Pakar saraf UMSC Dr Kamal Azrin Abdullah dan Ketua Eksekutif Suriana Welfare Society Rachel Ho melihat perkembangan Dhia Amanda Saifol, baru-baru ini. “Kami hargai dan berterima kasih dengan bantuan masyarakat pelbagai kaum yang membantu, doa kami untuk semua,” kata Saifol merujuk sumbangan keseluruhan RM300,000 yang dikumpulkan selepas kisah Dhia Amanda disiarkan FMT. Kempen itu digerakkan Suriana Welfare Society yang menurut Pengarah Eksekutifnya, Rachel Ho, kutipan buat Dhia Amanda semakin rancak selepas kisahnya dibaca di FMT. “Apabila FMT menerbitkan semula kisah ini, panggilan mula bertalu-talu masuk. Kami jelaskan kepada penderma apa yang Amanda lalui dan penderitaan yang ditanggungnya,” katanya. Menurut Rachel, sumbangan datang daripada rakyat pelbagai kaum dan agama. “Semua rakyat Malaysia bersatu hati – tidak kira Cina, India, Melayu, Islam atau latar belakang lain “Ini benar-benar usaha rakyat Malaysia, oleh kita semua,” katanya yang turut menyatakan penghargaan tertinggi terhadap FMT. “Penghargaan ikhlas kami kepada FMT atas laporan yang penuh empati serta kerjasama erat mereka, yang telah menjadikan kisah ini lebih diketahui rakyat Malaysia. “FMT adalah rakan strategik kami dan menjadi jambatan dalam usaha menyokong pemulihan kanak-kanak menghadapi gangguan perkembangan,” katanya. Kutipan yang melebihi sasaran awal iaitu RM250,000 membolehkan pembedahan segera dibuat pakar bedah saraf dari Pusat Perubatan Pakar Universiti Malaya (UMSC) Dr Kamal Azrin Abdullah. Mengimbau semula saat itu, Kamal berkata Dhia Amanda perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelakkannya mengalami status dystonicus, iaitu keadaan sawan yang tidak dapat dikawal. Dhia Amanda Saifol selesai menjalani pembedahan DBS pada Disember lalu, yang berjaya mengurangkan pergerakan luar kawalnya. Menurutnya, prosedur DBS melibatkan pemasangan dua wayar halus pada bahagian otak yang mengawal pergerakan yang kemudian disambungkan kepada peranti seperti bateri ditanam di bahagian dada pesakit. “Peranti ini menghantar arus elektrik ke bahagian tertentu dalam otak untuk mengawal pergerakan. Sama seperti perentak jantung, tetapi ini perentak untuk otak,” katanya. Bagi Kamal, kisah Dhia Amanda bukan sekadar kejayaan perubatan, tetapi juga simbol kekuatan perpaduan rakyat Malaysia. “Dhia Amanda anak yang istimewa. Dia membuka mata ramai orang penyakit ini boleh dirawat dan bantuan akan datang jika kita bersatu. “Tanpa sumbangan setiap individu sama ada seringgit atau seribu ringgit, pembedahan mengubah hidupnya ini tidak mungkin berlaku,” katanya.