Semua pasukan wanita wajib ada jurulatih wanita, kata Fifa
2026-03-20 - 02:30
Ketua Pegawai Bola Sepak Fifa Jill Ellis menekankan kekurangan jurulatih wanita dalam bola sepak. (Gambar EPA Images) PARIS: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada Khamis mengumumkan semua pasukan wanita bertanding dalam kejohanan dunia wajib mempunyai seorang ketua atau penolong jurulatih wanita di bangku simpanan. Peraturan baru diluluskan Majlis Fifa itu terpakai untuk perlawanan kebangsaan dan kelab di peringkat senior serta belia, termasuk Piala Dunia Wanita 2027 di Brazil dan Piala Dunia Wanita Bawah 20 Tahun 2026 di Poland. Selain ketua atau penolong jurulatih wanita, setiap pasukan juga wajib mempunyai sekurang-kurangnya seorang lagi kakitangan wanita di bangku simpanan. “Jumlah wanita dalam bidang kejurulatihan tidak mencukupi. Kita perlu mempercepatkan perubahan dengan mewujudkan laluan lebih jelas, memperluaskan peluang dan meningkatkan keterlihatan wanita di tepi padang. “Peraturan baharu Fifa digabungkan dengan program pembangunan disasarkan menandakan pelaburan penting dalam generasi jurulatih wanita semasa dan akan datang,” kata Ketua Pegawai Bola Sepak Fifa, Jill Ellis, yang juga bekas jurulatih skuad kebangsaan wanita AS, dalam kenyataan. The Telegraph melaporkan hanya 12 daripada 32 pasukan Piala Dunia 2023 dibimbing jurulatih wanita. Tetapi, tujuh daripadanya kini dikendalikan ketua jurulatih lelaki, manakala empat negara yang sebelum ini dilatih lelaki, kini di bawah bimbingan jurulatih wanita. Akhbar UK itu turut melaporkan enam pasukan dalam kejohanan sama, yang dimenangi Sepanyol 1-0 dalam aksi final menentang England, tidak mempunyai jurulatih wanita. Presiden Fifa, Gianni Infantino, membangkitkan perkara itu dalam Kongres Uefa di Belgium bulan lalu. “Sudah tentu kita perlukan lebih ramai wanita dalam jawatan penting bola sepak. Saya seorang bapa kepada empat anak perempuan, jadi kita perlu mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua wanita, tetapi sudah tentu kita hanya boleh belajar daripada wanita. “Jadi, kita perlu sokong lebih ramai wanita dalam jawatan bola sepak dan lebih ramai wanita secara amnya. Mungkin kita sebenarnya juga memerlukan lebih ramai jurulatih wanita dalam pasukan wanita. “Ini satu lagi perdebatan yang perlu kita lalui kerana kita telah melihat ada jurulatih sangat cemerlang,” kata Infantino.