TheMalaysiaTime

Semua parti ada hak tanding tetapi keputusan di tangan rakyat, kata Amira

2026-03-05 - 08:44

Adun Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz berkata beliau akan menyerahkan kepada pengundi untuk memilih siapa yang bakal menjadi Adun kerusi itu pada pilihan raya akan datang. PETALING JAYA: Adun Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz berkata kerusi yang disandangnya itu adalah milik rakyat dan pada akhirnya rakyat akan memilih siapa yang dipercayai untuk mewakili mereka. Amira yang juga pemangku presiden Muda berkata mana-mana parti mempunyai hak untuk menawarkan diri untuk bertanding dalam sistem demokrasi namun keputusan akhir terletak di tangan rakyat. “Saya menyerahkan kembali kepada rakyat Puteri Wangsa untuk menilai siapa yang mereka percaya. Semua kerusi adalah milik rakyat,” katanya yang mengulas tuntutan Amanah Johor terhadap kerusi itu. Terdahulu, Naib Pengerusi Amanah Johor, Zuhan Zain, berkata Amanah akan mengambil semula kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini ‘dipinjamkan’ kepada Muda selepas parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Amira berkata, beliau percaya pengundi kini lebih matang untuk menilai calon berdasarkan hasil kerja di lapangan, meskipun bakal berdepan cabaran bertanding tanpa sokongan jentera Pakatan Harapan. “Saya bersyukur diberi peluang untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat Puteri Wangsa sejak 2022 dan fokus saya tetap sama, iaitu bekerja sebaik mungkin untuk penduduk di sini. “Sepanjang hampir empat tahun ini, saya telah cuba menjalankan amanah ini dengan sebaik mungkin. Daripada menyelesaikan isu lapangan serta mengangkat suara penduduk Puteri Wangsa ke peringkat DUN, nasional dan antarabangsa,” katanya kepada FMT. Mengulas lanjut, Amira berkata tindakan partinya keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi ‘kuasa ketiga’ bukan atas niat jahat, sebaliknya satu keputusan berprinsip. “Muda tidak mahu dan tidak akan sesekali berkompromi dengan rasuah dan salah laku dalam politik,” katanya. Bagaimanapun, Amira menyerahkan keputusan sama ada untuk mempertahan kerusi itu pada jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) yang akan dipilih pada 14 Mac nanti. DUN itu dimenangi Muda menerusi Amira dalam pertandingan enam penjuru pada 2022.

Share this post: