TheMalaysiaTime

SEGiM akan bincang dasar tambang minimum e-panggilan, kata Loke

2026-03-17 - 13:50

Sahabat E-hailing Malaysia sebelum ini menggesa pihak berkuasa untuk mengawal selia struktur harga perkhidmatan e-panggilan memandangkan terdapat ruang eksploitasi terhadap pemandu di bawah dasar sedia ada. (Gambar fail) PETALING JAYA: Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) akan membincangkan gesaan pelaksanaan dasar tambang minimum atau kadar lantai bagi industri e-panggilan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook. Beliau berkata, sebarang perubahan dasar dalam industri e-hailing perlu dikaji dengan teliti kerana boleh memberi implikasi luas kepada keseluruhan ekosistem perkhidmatan itu, lapor Bernama. “Suruhanjaya (SEGiM) telah pun ditubuhkan dan isu berkaitan komisen serta kadar tambang akan dibincangkan di peringkat tersebut nanti,” katanya selepas menyantuni dan mengedarkan 500 pek hari raya kepada penumpang KTMB di KL Sentral. Sahabat E-hailing Malaysia sebelum ini menggesa pihak berkuasa untuk mengawal selia struktur harga perkhidmatan e-panggilan memandangkan terdapat ruang eksploitasi terhadap pemandu di bawah dasar sedia ada. Menurut pertubuhan itu, kuasa penetapan tambang e-panggilan diberikan sepenuhnya kepada syarikat penyedia perkhidmatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017. Kumpulan berkenaan memberi amaran bahawa tanpa penetapan harga lantai, pemandu akan terus terdedah kepada eksploitasi serta berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat.

Share this post: