Sebarang anasir ancam perpaduan mesti dibanteras tanpa kompromi, titah Agong
2026-03-21 - 01:50
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah suara majoriti rakyat Malaysia yang tahu membawa diri dengan adab mesti mendiamkan suara tidak beradab. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Sebarang anasir mengancam perpaduan rakyat mesti dibanteras tanpa kompromi, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Dalam Perutusan Aidilftiri 2026 dikongsi menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, baginda mengulangi nasihat pernah diberikan dalam perutusan tahun lepas, yang nampaknya sudah dilupakan atau tidak diendahkan orang ramai. “Ia bukan sekadar tindakan undang-undang atau perbincangan antara pemimpin masyarakat ketika timbulnya guris hati dan amaran, tetapi juga dalam penerapan amalan peradaban seharian dalam kalangan rakyat, ia mesti dipupuk serta sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa,” titah Sultan Ibrahim. Baginda turut mengingatkan rakyat Malaysia tidak melupakan lima prinsip Rukun Negara, termasuk prinsip “Kesopanan dan Kesusilaan”. “Di manakah kekurangan kita mendidik rakyat berkenaan perkara asas adab ini hingga ada yang begitu beracun dan kurang ajar sudut pandang serta kelakuannya hingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?” Sultan Ibrahim mengingatkan kembali isu stokin tertera kalimah Allah, bendera negara dikibarkan terbalik, perbuatan memijak al-Quran, golongan kurang ajar di masjid serta jari dan mulut celupar yang sewenang-wenangnya mengapi-apikan kebencian, kemarahan serta perpecahan. “Kita tidak boleh terima orang yang kurang ajar, sama ada antara kaum masyarakat berbeza, mahupun dalam kalangan satu jenis kaum itu sendiri.” Baginda percaya sebahagian besar rakyat Malaysia tahu membawa diri dengan adab baik dalam kehidupan seharian dan suara majoriti ini mesti mengatasi serta mendiamkan suara tidak beradab. Titah baginda, rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan sedang dinikmati ketika negara lain mengalami peperangan, sambil mengingatkan pepatah “Bersatu teguh, bercerai roboh”. Sultan Ibrahim bertitah, pengurusan isu sensitif oleh pihak berkuasa juga mesti berhemah dan mengambil kira semua aspek berkaitan kerana tiada ruang untuk berlaku kesilapan. “Tunjukkan tindakan yang diambil itu benar, tegas dan tepat agar tidak menghakis kepercayaan kepada pentadbiran negara. “Saya berharap nasihat ini tidak dilupakan dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak.” Dalam meraikan Aidilfitri, Sultan Ibrahim mengajak umat Islam bersama memanjatkan doa berterusan kepada Allah agar nasib umat Islam di seluruh dunia, terutamanya mereka yang tertindas dalam kancah keganasan dapat dipelihara serta dikurniakan kemenangan dan keamanan sejagat. Baginda turut mengingatkan umat Islam tidak melupakan golongan kurang bernasib baik dan terus menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. “Semoga ibadah yang dilaksanakan sepanjang Ramadan menjadikan kita semua umat yang lebih istiqamah dan taat kepada Allah SWT.” Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut mendoakan rakyat serta negara dilindungi daripada musibah, dikurniakan kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan kukuh, selain mengingatkan rakyat berhati-hati di jalan raya serta makan dengan berhemah.