TheMalaysiaTime

Saya tak terlibat pertemuan dengan Zahid di Bangkok, kata Dr Sam

2026-03-06 - 15:34

Pengerusi Perikatan Nasional Ahmad Samsuri Mokhtar berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan nama beliau dengan perkara yang tidak berlaku. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan laporan bahawa beliau antara pemimpin dan ahli politik yang terlibat dalam pertemuan bersama Presiden Umno Zahid Hamidi di Bangkok tahun lalu. Samsuri yang juga naib presiden PAS berkata beliau juga tiada kena mengena dengan pertemuan tersebut. “Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh beberapa pihak tertentu, saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak terlibat dalam apa jua pertemuan di Bangkok. “Sebarang pertemuan atau perbincangan yang dikaitkan dengan perkara tersebut adalah tidak melibatkan saya dan tiada kena mengena dengan saya,” katanya di Facebook. Menteri besar Terengganu itu juga berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan nama beliau dengan perkara yang tidak berlaku. Terdahulu, Zahid mengesahkan bahawa Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin merupakan antara ahli politik yang ditemui beliau di Bangkok pada tahun lepas bagi membincangkan isu perpaduan Melayu dan Islam. Memetik sumber daripada beberapa parti, Berita Harian melaporkan bahawa Samsuri dan Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan turut bertemu Zahid pada ketika itu bagi membincangkan cadangan untuk menyatukan parti-parti politik Melayu dan Islam. Sumber tersebut menyatakan bahawa pertemuan itu diadakan pada awal Disember sewaktu timbalan perdana menteri itu berada di Thailand bagi siri lawatan kerja.

Share this post: