Saya mangsa, bukan pelaku, kata Victor Chin
2026-03-16 - 08:34
Victor Chin berkata beliau hanya menyertai pelaburan atau pengambilalihan melalui saluran yang sah. (Gambar MMAG) PETALING JAYA: Tokoh korporat Victor Chin, menafikan sebarang penglibatan dalam gerakan memaksa pengambilalihan syarikat yang didakwa melibatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pengarah eksekutif MMAG Holdings Bhd itu dalam kenyataan berkata penggunaan ‘taktik mafia’ untuk memaksa pengambilalihan memang wujud, tetapi beliau menegaskan dirinya sebagai mangsa, bukan pelaku. Chin menegaskan beliau hanya mengambil bahagian dalam pelaburan atau pengambilalihan melalui saluran sah, iaitu pembelian saham secara telus dan transaksi sah mematuhi semua keperluan peraturan. Beliau juga menyambut baik cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan itu, dengan keyakinan bahawa siasatan itu akan membersihkan namanya daripada sebarang salah laku. “Label ‘mafia korporat’ dilekatkan kepada saya kerana ada individu atau syarikat yang pernah berkait dengan saya melalui pegangan saham atau hubungan perniagaan lama, kemudian terlibat dalam perkara yang disiasat pihak berkuasa. “Dalam beberapa kes, pegangan saham itu telah dijual jauh sebelum salah laku yang didakwa berlaku, atau sebelum saya terlibat dengan syarikat berkenaan,” katanya. Chin berkata beliau akan melantik peguam dan menyerahkan dokumen berkaitan yang bersedia untuk disemak oleh agensi penguatkuasaan. Beliau turut menyatakan kecewa kerana pihak berkuasa telah membekukan lebih 500 akaun syarikat broker dan bank miliknya selama lebih 90 hari, yang memberi kesan besar kepada operasi perniagaan dan aktiviti pelaburannya. “Saya ingin nyatakan dengan jelas bahawa saya bukan sahaja didakwa, tetapi juga merupakan mangsa kepada taktik mafia korporat yang didakwa ini,” katanya. Minggu lalu, Kabinet mengarahkan polis, Suruhanjaya Sekuriti (SC), SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat dakwaan bahawa pegawai SPRM tertentu terlibat dalam gerakan memaksa pengambilalihan syarikat. Laporan Bloomberg mendakwa pegawai berkenaan menyediakan “perkhidmatan” ugutan seperti serbuan dan siasatan bagi menekan pengurusan syarikat sasaran supaya menjual saham, seterusnya memaksa pengambilalihan syarikat. DAP telah menuntut penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan ini. Sebelum ini, The Star melaporkan polis dan SC menyerbu premis milik Chin dan merampas beberapa barangan termasuk dua kereta, jam tangan mewah, pelbagai barang kemas, mata wang tempatan dan asing, serta dokumen. Premis tersebut terletak di Sungai Long dan Kemensah. Hari ini, Chin menyeru pihak berkuasa supaya ‘menghentikan gangguan’ di premisnya di Sungai Long kerana ibu bapa beliau yang sudah lanjut usia tinggal di situ. Beliau berkata ibunya sedang pulih daripada strok dan tindakan penguatkuasaan secara tiba-tiba boleh menjejaskan kesihatannya. “Saya percaya pihak berkuasa akan bertindak dengan belas kasihan dan mengambil kira kesejahteraannya. Saya tetap bersedia untuk bekerjasama dengan sebarang siasatan dan mengemukakan semua fakta yang perlu bagi membersihkan nama saya,” katanya.