Saya jumpa Zahid di Bangkok atas pengetahuan Hadi, kata Takiyuddin
2026-03-12 - 04:35
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata beliau dipelawa menyertai pertemuan di Bangkok itu selaku ketua whip PN dan ia sekadar perbincangan biasa tanpa tujuan khusus. PETALING JAYA: Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengakui turut menyertai pertemuan ketua pembangkang, Hamzah Zainudin dengan Presiden Umno, Zahid Hamidi di Bangkok, Disember lalu. Beliau berkata, kehadirannya dalam pertemuan itu diketahui Presiden PAS, Hadi Awang. “Saya dijemput sebagai ketua whip, manakala Datuk Seri Hamzah pula sebagai ketua pembangkang dan kami berjumpa dengan timbalan perdana menteri di Bangkok. “Tiada satu spesifik tujuan menerusi pertemuan itu, kita pergi sekadar berjumpa dan sekadar bertukar fikiran dan kebetulan masa itu Sukan SEA, kita pergi tengok Sukan SEA. “Tidak wujud sebarang gerakan dikatakan Langkah Bangkok sebagaimana didakwa sesetengah pihak. Pertemuan itu di antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di Kota Bharu. Beliau menyifatkan pertemuan itu yang dikaitkan dengan dakwaan Langkah Bangkok sebagai prasangka. “Nak ke Bangkok memang la kena melangkah. Apa yang pasti, saya pergi ke sana dengan pengetahuan presiden, parti lain saya tidak tahu,” katanya. Zahid sebelum ini mengaku menemui Hamzah tahun lalu bagi membincangkan isu penyatuan parti Melayu dan Islam. Pertemuan itu dipercayai berlangsung pada awal Disember lalu ketika Zahid melakukan lawatan kerja ke Bangkok. Media memetik sumber parti politik sebagai berkata, selain Hamzah, Zahid juga dikatakan menemui Takiyuddin yang juga timbalan setiausaha agung PN.