Saya hanya tahu SRC pinjam KWAP selepas diluluskan, kata bekas pengarah
2026-03-16 - 08:34
SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya menyaman Najib Razak untuk dapatkan semula RM42 juta dana syarikat itu yang didakwa mengalir ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu. KUALA LUMPUR: Bekas pengarah SRC International, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai permohonan pinjaman yang dibuat oleh syarikat itu kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP). Memberi keterangan sebagai saksi keenam dalam saman sivil RM42 juta difailkan SRC International terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, Che Abdullah, 77, berkata kemudahan tersebut diluluskan sebelum beliau menyertai lembaga pengarah pada Ogos 2011. Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai pinjaman RM4 bilion itu selepas ia dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah. Ketika disoal peguamnya, How Li Nee, Che Abdullah menegaskan bahawa beliau tidak memainkan sebarang peranan dalam proses permohonan atau kelulusan pinjaman tersebut. How: Adakah anda mempunyai sebarang pengetahuan mengenai pinjaman yang diambil oleh plaintif pertama (SRC International) daripada KWAP? Che Abdullah: Saya hanya mengetahui tentang pinjaman KWAP yang diambil oleh plaintif pertama selepas ia telah diluluskan oleh KWAP dan dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah. Che Abdullah berkata lembaga pengarah dimaklumkan dalam satu mesyuarat bahawa sebahagian besar pinjaman itu bertujuan untuk pelaburan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dengan syarikat yang berpangkalan di Abu Dhabi, Aabar Investments PJS. Beliau berkata walaupun beberapa transaksi, termasuk jumlah yang masuk ke akaun peribadi Najib, berlaku semasa tempoh beliau memegang jawatan pengarah, beliau bukan seorang penandatangan mahupun terlibat dalam meluluskannya. “Pemindahan tersebut tidak pernah diluluskan atau dibentangkan kepada lembaga pengarah pada masa tersebut untuk sebarang pertimbangan. “Oleh itu, saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai transaksi-transaksi ini,” katanya. Che Abdullah antara enam individu yang ditambah Najib sebagai pihak ketiga dalam saman yang difailkan oleh SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd untuk dapatkan semula RM42 juta yang didakwa masuk ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri itu. Najib menegaskan Che Abdullah bersama bekas pengarah SRC International yang lain iaitu Ismee Ismail, Suboh Yassin, Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Nik Faisal Ariff Kamil, telah melanggar kewajipan fidusiari mereka dan sepatutnya berkongsi tanggungjawab terhadap sebarang ganti rugi yang perlu dibayar kepada syarikat tersebut. Che Abdullah kekal dengan pendirian bahawa sebarang keputusan mengenai pemindahan yang dikaitkan dengan pinjaman KWAP itu terletak pada Najib, yang didakwanya pegang kuasa mutlak sebagai penasihat emeritus syarikat, selain merangkap perdana menteri dan menteri kewangan. “Menyalahkan saya dan pengarah SRC yang lain adalah sesuatu yang difikirkan kemudian dan tanpa asas,” katanya. Najib, 72, dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022, susulan sabitan menyelewengkan dana SRC sebanyak RM42 juta. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh penjara beliau kepada enam tahun, dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta. Pada 26 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Najib dan denda RM11.387 bilion susulan sabitannya dalam kes 1MDB, dengan tempoh penjara tersebut bermula sejurus selepas beliau tamat menjalani tempoh penjara semasa. Peguam Kwan Will Sen mewakili SRC, manakala peguam kanan Shafee Abdullah dan Farhan Shafee mewakili Najib. Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan berakhir hari ini dengan Che Abdullah menjadi saksi terakhir. Hakim menetapkan 7 Ogos dan 21 Ogos untuk penghujahan lisan.