Saya hanya singgah sekejap jumpa Arun, kata Kula
2026-03-17 - 09:14
Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, M Kulasegaran (kanan) dilihat bersama Arun Dorasamy (tengah) di Kompleks Mahkamah Jawi di Pulau Pinang pagi tadi. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, M Kulasegaran berkata beliau hanya singah sekejap untuk bertemu aktivis Arun Dorasamy di Kompleks Mahkamah Jawi di Pulau Pinang pagi tadi, kerana beliau berada di negeri itu untuk satu mesyuarat. Ahli Parlimen Ipoh Barat daripada DAP itu berkata beliau berada di Pulau Pinang sejak semalam dan singgah di mahkamah ketika dalam perjalanan pulang. “Saya singgah di mahkamah untuk bercakap dengan Arun tentang kepercayaan terhadap proses undang-undang sementara beliau bersedia untuk berdepan dengan prosiding akan datang. “Saya ingin menjelaskan saya hanya bertemu Arun sekejap di kompleks mahkamah sebelum beredar. Saya tidak hadir di dalam bilik mahkamah semasa pertuduhan dibacakan dan prosiding dijalankan. “Seperti biasa, semua pihak adalah sama di sisi undang-undang dan proses sewajarnya mestilah dihormati,” katanya dalam satu kenyataan. Kulasegaran berkata beliau mengenali Arun ketika mewakili M Indira Gandhi dalam cabaran undang-undang berkaitan penjagaan anak-anaknya. Arun merupakan pengerusi Pasukan Bertindak Indira Gandhi, sebuah kumpulan yang ditubuhkan untuk menyokong Indira. Kulasegaran sebelum ini berkhidmat sebagai peguam kepada Indira. Kulasegaran menerima kecaman, termasuk daripada PKR, selepas dilihat bersama Arun, yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam. Ketua Pemuda PKR Johor, Faezuddin Puad berkata pemimpin DAP itu perlu memberi penjelasan mengenai kehadiranya di mahkamah kerana tidak mahu ia beri gambaran seolah-olah kerajaan memihak atau beri sokongan politik kepada Arun. “Kita tak nak perkara ini memberi gambaran yang salah kepada rakyat. Kita bimbang tindakan ini boleh rosakkan imej kerajaan Madani dan perdana menteri di mata rakyat,” katanya di Facebook. Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari turut menyindir Kulasegaran di Facebook dengan menyatakan bahawa timbalan menteri itu banyak masa lapang yang diisi dengan mengiringi orang didakwa di mahkamah.