TheMalaysiaTime

Saya akan kembali jika Umno tamat kerjasama DAP, kata Noh Omar

2026-03-10 - 03:14

Noh Omar dipecat Umno kerana melanggar disiplin parti pada PRU15. PETALING JAYA: Bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar bersedia kembali ke pangkuan parti itu di bawah inisiatif “Rumah Bangsa” dengan syarat ia menamatkan kerjasamanya dengan DAP. Beliau berkata, pendirian itu berlandaskan prinsip perjuangan parti perlu dipertahankan, khasnya berkaitan kepentingan Islam dan hak orang Melayu yang menjadi asas perjuangan Umno. Tegasnya, beliau tidak bersetuju dengan kerjasama politik Umno dan DAP dalam beberapa perkara, termasuk isu pendidikan dan hak orang Melayu. “Jiwa saya memang Umno. Saya boleh kembali ke Umno dengan syarat Umno tidak bekerjasama dengan DAP. Itu prinsip saya,” katanya menurut Utusan Malaysia. Noh berkata, pendirian itu dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno apabila persoalan kerjasama dengan Pakatan Harapan timbul selepas PRU15. “Masa UMNO hendak bersama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu, perkara itu dibawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi. Saya beritahu perkara itu kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi. Pada masa itu saya memang tidak setuju kerana parti ini berdasarkan prinsip perjuangan. “Dari segi perjuangan dan prinsip, Umno dengan DAP memang berbeza.” Noh dipecat Umno kerana melanggar disiplin parti pada PRU15. Pada Julai 2024, beliau mengesahkan sudah menyertai Bersatu. Beliau dilantik ke Majlis Tertinggi Bersatu pada awal 2025, tetapi meletak jawatan bulan lalu susulan pemecatan 17 pemimpin, termasuk Hamzah Zainudin. Jumaat lalu, Presiden Umno, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Umno membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ seluas-luasnya kepada ahli dipecat atau digantung, dengan “semua kesilapan dan perbezaan masa lalu” akan diampuni atas semangat Ramadan. Tetapi, beberapa bekas pemimpin Umno menolak untuk kembali, termasuk Mukhriz Mahathir yang kini presiden Pejuang, pemimpin PAS Annuar Musa dan bekas ahli Majlis Tertinggi Isham Jalil. Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bagaimanapun menyuarakan minatnya untuk kembali ke parti itu. Noh berkata, Umno perlu menghidupkan semula semangat kerjasama Muafakat Nasional dengan PAS untuk memperkukuhkan sokongan Melayu dan Islam. Menurutnya, pendekatan itu lebih selari asas perjuangan parti dan mampu mengembalikan keyakinan penyokongnya.

Share this post: