TheMalaysiaTime

Sarawak teliti pendekatan kawalan rabies

2026-03-22 - 08:40

Timbalan Premier Sim Kui Hian mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan ancaman rabies. (Gambar Bernama) KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti pendekatan berkesan bagi mempertingkat usaha mengawal rabies, khususnya kes jangkitan melibatkan kucing. Timbalan Premier Sim Kui Hian berkata perbincangan diadakan dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi merangka pelan tindakan bersepadu. “Rabies terus menjadi ancaman yang serius di Sarawak dengan kira-kira separuh daripada kes gigitan dan cakaran yang dilaporkan melibatkan kucing, selain anjing terbiar. “Pada masa ini, cabaran utama dalam kawalan rabies ialah pemvaksinan kepada kucing, yang lebih mencabar kerana haiwan terbabit mudah mencakar dan air liurnya berpotensi membawa virus berbahaya itu,” katanya kepada pemberita pada majlis anjuran ketua masyarakat Parlimen Petra Jaya. Sim mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan ancaman rabies serta sentiasa mengambil langkah pencegahan termasuk memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin secara berkala. “Tindakan segera perlu diambil sekiranya digigit anjing atau dicakar kucing termasuk membersihkan luka dengan air dan mendapatkan rawatan di klinik untuk pemeriksaan serta vaksinasi. “Vaksin rabies untuk manusia kini boleh diperoleh di klinik, sekali gus membolehkan rawatan diberikan dengan cepat dan berkesan,” katanya.

Share this post: