TheMalaysiaTime

Sarawak sedia fail petisyen berkait ordinan O&G

2026-03-17 - 15:40

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata kerajaan negeri menerima keputusan Mahkamah Persekutuan dan akan tunggu petisyen difailkan Petronas. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Sarawak bersedia memfailkan petisyennya sendiri bagi memastikan semua isu yang melibatkan kerangka kawal selia yang mengawal operasi Petroleum Sarawak Bhd (Petros) diteliti secara menyeluruh, kata seorang timbalan menteri negeri. Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata kerajaan negeri kekal tegas dalam mempertahankan hak Sarawak sambil memastikan kepentingan rakyat terus dilindungi. “Kami berharap petisyen yang difailkan Petronas akan didengar bersama petisyen Sarawak supaya semua perkara dapat dipertimbangkan secara adil dan menyeluruh,” katanya, menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak. Semalam, Mahkamah Persekutuan membenarkan Petronas untuk meneruskan cabarannya berhubung keperlembagaan beberapa ordinan Sarawak yang mengawal selia minyak dan gas di negeri Borneo itu. Peguam Petronas, Cyrus Das dalam hujahannya berkata DUN Sarawak meluluskan pindaan beberapa ordinan, termasuk Ordinan Pengagihan Gas (DGO) dan Ordinan Perlombongan Minyak, yang melanggar peruntukan di bawah Seksyen 1(a), 8(c), 8(j) dan 11(c) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Katanya, peruntukan itu menyentuh mengenai perjanjian, perdagangan, pembangunan sumber mineral, serta pengeluaran dan pengagihan kuasa dan tenaga, hanya boleh diluluskan di Dewan Rakyat. Das menambah bahawa pindaan kepada DGO yang diluluskan pada 2023 secara tidak langsung menjadikan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai agregator gas tunggal di Sarawak bagi ‘menggantikan’ Petronas. Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, JC Fong membantah permohonan Petronas untuk memulakan cabaran perlembagaan tersebut atas alasan bahawa permohonan itu sepatutnya difailkan di hadapan Mahkamah Tinggi. Beliau menegaskan bahawa DUN Sarawak telah bertindak dalam lingkungan hak dan bidang kuasanya semasa meluluskan ordinan-ordinan berkaitan. Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah, yang mempengerusikan prosiding, mengarahkan Petronas failkan petisyen yang memperincikan ordinan dan peruntukan yang dipertikaikan dalam tempoh 21 hari. Sharifah Hasidah berkata keputusan mahkamah itu adalah wajar dan kerajaan negeri menerima keputusan tersebut serta akan menunggu petisyen difailkan Petronas.

Share this post: