TheMalaysiaTime

Sanjeevan dakwa PAS bisu, berpura-pura soal pengganti Hamzah

2026-02-26 - 08:14

R Sanjeevan turut gesa PAS lebih berani pikul tanggungjawab. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu mendakwa PAS dilihat membisu apabila tidak menggantikan segera Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang, selain menuduh rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) itu sebagai berpura-pura. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, R Sanjeevan, berkata parti itu sudah menghantar surat rasmi supaya Hamzah digantikan susulan pemecatan bekas timbalan presiden Bersatu tersebut pada 13 Feb lalu. “Tetapi PAS masih membisu. Masih berlengah. Masih berpura-pura seolah-olah tiada apa berlaku. “Ini bukan lagi soal prosedur. Ini soal maruah dan kejujuran dalam gabungan,” katanya dalam kenyataan sambil mempersoalkan kerjasama itu jika keputusan rakan tidak dihormati. Beliau turut mempersoalkan sama ada kelewatan melantik ketua pembangkang baharu kerana PAS selesa menjaga kepentingan politik sendiri daripada menjaga kesepakatan. “Ketandusan pemimpin sampai terpaksa bergantung pada orang yang sudah dipecat? “Nak jadi pengerusi PN tapi takut jadi ketua pembangkang?” kata naib ketua Bersekutu Bersatu merujuk pelantikan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar ke jawatan itu. Sanjeevan turut menggesa PAS lebih berani memikul tanggungjawab. “Jangan hanya pandai bercakap soal wala’ dan prinsip, tapi bila diuji terus hilang arah.” Kedudukan Hamzah menjadi tidak menentu sejak dipecat Bersatu akibat perebutan kepimpinan dalaman dengan Presiden Muhyiddin Yassin. Hamzah sebelum ini dilantik sebagai ketua pembangkang selepas kerajaan perpaduan dibentuk, hasil cadangan PAS, walaupun ketika itu Muhyiddin masih menjadi pengerusi PN. Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Ahad lalu setuju PAS mengambil alih jawatan itu. Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, pula berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat akan datang.

Share this post: