TheMalaysiaTime

Samsuri saran tubuh majlis bebas tangani kesan kenaikan harga minyak

2026-03-22 - 04:40

Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar berkata majlis dicadangkan itu boleh dianggotai NGO, ahli akademik, pemain industri dan masyarakat sivil. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar menyarankan kerajaan membentuk majlis perundingan tidak berpihak bagi membincangkan campur tangan ekonomi susulan kenaikan harga minyak akibat konflik Timur Tengah. Menurutnya, ketidakpastian ekonomi global memerlukan pendekatan non-partisan untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi politik. Dengan konflik berterusan, katanya, rakyat Malaysia mula merasai kesan kenaikan harga tenaga dan kos logistik serta gangguan rantaian bekalan. “Kesan rantaian ini tidak dapat dielakkan dan dalam tempoh beberapa bulan mendatang, negara berkemungkinan berdepan kenaikan harga barang asas dan makanan, kos pengangkutan, logistik, utiliti dan perkhidmatan. “Bahkan lebih besar lagi impaknya adalah risiko tekanan kepada sektor pekerjaan, termasuk kemungkinan pengurangan tenaga kerja dalam industri terjejas. “Tanpa intervensi dasar yang proaktif, risiko pemberhentian pekerja boleh meningkat, khususnya dalam sektor pembuatan, logistik, perusahaan kecil dan sederhana yang amat terkesan susulan kenaikan kos bahan mentah,” katanya dalam kenyataan. Justeru, menteri besar Terengganu itu mencadangkan penglibatan NGO, ahli akademik, pemain industri dan masyarakat sivil bersama mencari penyelesaian. Beliau berkata, forum seumpama itu akan membantu memastikan keputusan dibuat demi kepentingan kolektif negara, bukannya pertimbangan politik sempit. “Pendekatan ini bukan soal politik, tetapi soal kelangsungan negara. Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia tidak boleh bergerak secara berpecah mengikut garis kepartian. “Sebaliknya, kita mesti menghimpunkan kekuatan seluruh negara dengan merentasi perbezaan politik dan latar belakang untuk menghadapi cabaran ini secara bersama,” kata naib presiden PAS itu.

Share this post: