TheMalaysiaTime

Samsuri belum teruji untuk jadi perdana menteri, kata Ahli Parlimen

2026-03-13 - 01:04

Saiz KDNK Terengganu bawah kepimpinan Ahmad Samsuri Mokhtar berada pada kedudukan ke-12 pada 2024. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional, Ahmad Samsuri Mokhtar, mungkin akan bergelut jika diangkat ke jawatan perdana menteri, kerana beliau belum teruji sebagai seorang pemimpin nasional, menurut Ahli Parlimen Umno. Ahli Parlimen Tampin, Isam Isa, berkata menteri besar Terengganu itu sering dilihat sebagai seorang teknokrat berwibawa yang berjaya beralih ke kancah politik. Bagaimanapun, naib presiden PAS itu belum berdepan penelitian awam sebagai seorang pemimpin nasional, terutama sebagai individu yang dikatakan memiliki ciri-ciri perdana menteri. “Beliau belum diuji sepenuhnya. Untuk terus dilihat sebagai seseorang yang mampu menjadi perdana menteri yang berjaya — saya belum melihat perkara itu dalam dirinya. “Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula telah diduga dan diuji sepenuhnya, semasa beliau dalam Umno dan di luar parti itu. Kini beliau terus menghadapi pelbagai ujian dalam menerajui kerajaan perpaduan. “Ujian-ujian sebeginilah yang sebenarnya menentukan sama ada seseorang itu sudah bersedia menjadi pemimpin nombor satu negara,” katanya kepada FMT. Isam bagaimanapun akui Samsuri tidak memikul sebarang isu lampau. “Bagi saya, beliau kelihatan bersih, dan salah seorang tokoh yang berpotensi untuk diketengahkan. Malah, saya akui beliau layak untuk menjadi perdana menteri masa depan.” Samsuri selama sedekad berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Presiden PAS, Hadi Awang, sebelum bertanding dan memenangi kerusi DUN Rhu Rendang pada 2018. Beliau kemudian dilantik sebagai menteri besar Terengganu dan mengekalkan jawatan itu untuk penggal kedua selepas PRN 2023, yang menyaksikan PN menyapu bersih semua kerusi. Bagaimanapun, walaupun meraih manfaat daripada royalti minyak dan gas serta mencatatkan lebihan belanjawan negeri secara konsisten, Terengganu masih berada pada kedudukan pertengahan atau bawahan berbanding negeri-negeri lain menurut beberapa petunjuk ekonomi. Pada 2024, pertumbuhan KDNK Terengganu berada pada tahap 4.5%, di bawah purata nasional 5.1%, dan saiz KDNK Terengganu berada pada kedudukan ke-12 dalam kalangan 15 negeri dan wilayah. Terengganu juga mencatatkan kadar kemiskinan mutlak ketiga tertinggi. Bolehkah Samsuri kemudi ekonomi? Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, mempersoalkan sama ada pendekatan kepimpinan Samsuri akan berkesan di peringkat nasional, terutama berkaitan prestasi ekonomi. Menyentuh hantaran Facebook Samsuri yang telah dipadam, yang mana beliau memperkecilkan pertumbuhan KDNK yang rendah dan mendakwa negeri itu mendahului Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia, Azli berkata: “(Samsuri) pernah berkata bahawa tidak mengapa jika KDNK kita rendah, asalkan kita bahagia. Tetapi jika beliau menjadi perdana menteri, sanggupkah beliau berkata demikian?” Ahli Parlimen Amanah itu berkata pengundi di Terengganu dan di seluruh negara perlu mempertimbangkan dengan teliti jenis pemimpin yang mereka mahukan. Azli berkata negara memerlukan pemimpin yang mampu menggabungkan nilai-nilai Islam dengan kecekapan dan keupayaan untuk bekerja merentas komuniti. “Kita mahu Islam dihormati oleh rakyat di negara kita dan oleh orang luar. Ya, kita mahu orang Melayu memimpin, tetapi mereka mestilah orang Melayu yang berkebolehan, kompeten, mampu bekerjasama dengan kaum lain dan dihormati oleh kawan mahupun lawan,” katanya.

Share this post: