Saifuddin Abdullah tarik rayuan pemecatan Bersatu
2026-02-16 - 05:16
Saifuddin Abdullah dipanggil oleh lembaga disiplin susulan gesaan beliau supaya presiden Bersatu dan ketika itu pengerusi PN Muhyiddin Yassin meletak jawatan. PETALING JAYA: Bekas menteri Saifuddin Abdullah memutuskan untuk menarik balik rayuannya terhadap pemecatan beliau daripada Bersatu, beberapa jam selepas seorang lagi Ahli Parlimen berbuat demikian. Dalam sepucuk surat kepada parti itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota tersebut berkata beliau menarik balik rayuan itu berkuat kuasa serta-merta. “Saya memohon lembaga rayuan (Bersatu) mengambil maklum dan menghentikan segala prosiding atau pertimbangan lanjut berkaitan rayuan saya,” katanya. Saifuddin dipecat daripada parti pada 6 Jan kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaannya. Lembaga disiplin tidak menyatakan secara khusus bentuk kesalahan beliau. Saifuddin dipanggil oleh lembaga disiplin susulan gesaan beliau supaya presiden Bersatu dan ketika itu pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin meletak jawatan. Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan turut memutuskan untuk menarik balik rayuannya terhadap pemecatan beliau daripada Bersatu. Dalam satu hantaran di Facebook, Wan Saiful berkata beliau telah menghantar surat kepada lembaga disiplin Bersatu bagi memaklumkan perkara tersebut. BERITA LANJUT MENYUSUL