TheMalaysiaTime

Sabah peruntuk RM164.01 juta bagi pembangunan modal insan bawah RMK13

2026-03-05 - 06:44

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaan negeri sentiasa sokong usaha buka lebih banyak peluang pendidikan berkualiti secara inklusif, khasnya menjadikan STEM dan inovasi sebagai budaya pembelajaran di sekolah. KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM164.01 juta bagi program pembangunan modal insan di negeri itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Ketua Menteri, Hajiji Noor. Beliau berkata, antara bidang diutamakan ialah pemerkasaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pengukuhan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), latihan pertanian dan teknologi digital dengan penumpuan terhadap literasi kecerdasan buatan (AI). “Pembangunan modal insan tetap diutamakan menjadi sebahagian program pembangunan anak watan negeri ini ke arah mencapai kemajuan dan kecemerlangan. “Bidang kemahiran dan pembangunan belia akan diperkasa melalui peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan,” katanya dalam ucapan majlis perasmian Program Latihan Guru untuk Pertandingan Robotik SMJ di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lok Yuk di sini. Teks ucapannya dibacakan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib. Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha membuka lebih banyak peluang pendidikan berkualiti secara inklusif, khususnya menjadikan STEM dan inovasi sebagai budaya pembelajaran di sekolah. “Kita mahu memastikan program seperti ini berjalan dengan teratur dan kemas, melalui kerjasama rapat antara pihak pendidikan, sekolah, komuniti dan rakan strategik supaya guru mendapat sokongan sewajarnya dan murid dapat menikmati pengalaman pembelajaran bermakna.” Dalam konteks ini, jelasnya, latihan guru hari ini signifikan kerana murid akan lebih bersedia memahami teknologi, membina keyakinan dan menghasilkan inovasi berguna apabila guru diperkasa dengan kemahiran serta alat betul. “Program ini tidak sekadar memperkenalkan robotik sebagai aktiviti tambahan, tetapi juga dengan pendekatan lebih tersusun melalui model pelaksanaan di sekolah. “Ini termasuk keperluan infrastruktur minimum, penggunaan kit robotik, platform pembelajaran serta latihan guru secara ‘Train-the-Trainer’ untuk memastikan pelaksanaan benar-benar berkesan.” Menurutnya, penggunaan kit robotik LEANBOT sebagai alat pembelajaran utama serta integrasi latihan fizikal dan simulasi melalui Digital Twin mampu memberi pendekatan pembelajaran secara praktikal kepada murid. “Ia membantu murid belajar melalui pengalaman membina, menguji, membuat penambahbaikan dan akhirnya memahami konsep secara lebih mendalam, bukan sekadar menghafal teori.”

Share this post: