RUU gagal bukan kerana PM tak cukup sokongan, kata pemimpin PKR
2026-03-03 - 12:53
Semalam, Dewan Rakyat gagal lulus RUU pindaan perlembagaan untuk hadkan tempoh jawatan PM selepas undian tak capai majoriti dua pertiga yang diperlukan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kegagalan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun lulus di Dewan Rakyat bukan disebabkan Anwar Ibrahim kurang sokongan di Parlimen, kata Ketua PKR Batu Asheeq Ali Sethi Alivi. Dalam kenyataan, Asheeq menyangkal dakwaan Ketua Umno Batu Gulam Muszaffar Gulam Mustakim bahawa keputusan itu mencerminkan sokongan lemah terhadap perdana Menteri di Dewan Rakyat. Beliau berkata, blok Pakatan Harapan (PH) menyokong RUU tersebut sepenuhnya, dengan semua Ahli Parlimen PH hadir dan mengundi menyokong pindaan itu. “Hakikatnya jelas. Blok PH memberikan sokongan 100% terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026,” katanya. Sebaliknya, Asheeq mengaitkan kegagalan mendapatkan majoriti dua pertiga yang diperlukan itu dengan kurangnya komitmen dalam kalangan segelintir Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN). Beliau menyifatkan tindakan pemimpin BN yang mendakwa kerajaan Madani lemah sebagai tidak wajar, sedangkan BN sendiri gagal memastikan kehadiran penuh Ahli Parlimen bloknya. Asheeq turut menegaskan, RUU yang dicadangkan itu merupakan sebahagian agenda pembaharuan institusi yang lebih luas, bukan ujian kekuatan politik Anwar Semalam, Dewan Rakyat gagal meluluskan RUU pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri selepas undian tidak mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan. Dalam undi blok berkenaan, 146 Ahli Parlimen menyokong RUU itu, 44 berkecuali dan 32 tidak hadir. Sekurang-kurangnya 148 undi diperlukan untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan bagi pindaan perlembagaan. Dilaporkan lapan Ahli Parlimen blok kerajaan tidak hadir, manakala semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir dan menyokong RUU tersebut. Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil hari ini berkata, Ahli Parlimen Libaran Suhaimi Nasir tidak dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat semalam kerana dimasukkan ke hospital, manakala Ahli Parlimen Tapah M Saravanan harus menghadiri upacara keagamaan. Selain Suhaimi dan Saravanan, enam lagi Ahli Parlimen yang tidak hadir terdiri daripada Hishammuddin Hussein (Sembrong); Larry Sng (Julau); Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Henry Sum Agong (Lawas); Riduan Rubin (Tenom); dan bekas timbalan ketua menteri Sabah Jeffrey Kitingan (Keningau). Semalam, Sng memberitahu FMT, beliau tidak sempat pulang ke Parlimen untuk mengundi kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, manakala Syed Hussin berkata, beliau memilih tidak hadir kerana tidak bersetuju dengan undang-undang yang dicadangkan itu. Fahmi berkata, daripada lapan Ahli Parlimen yang tidak hadir, tiga daripada BN, masing-masing seorang daripada Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, serta dua Ahli Parlimen bebas.