TheMalaysiaTime

RUU asing peranan AG, pendakwa raya dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas

2026-03-03 - 06:23

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata jawatankuasa itu akan menyediakan penyata mengandungi cadangan pindaan terhadap RUU dalam tempoh tiga bulan. PETALING JAYA: Dewan Rakyat meluluskan usul supaya Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 berkaitan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya dirujuk kepada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan meneliti RUU itu termasuk mekanisme akauntabiliti pendakwa raya dan mencadangkan apa-apa pindaan yang difikirkan perlu berhubung perkara tersebut. Beliau juga berkata jawatankuasa itu akan menyediakan satu penyata yang mengandungi cadangan pindaan terhadap RUU tersebut dalam tempoh tiga bulan. “Jawatankuasa Pilihan Khas boleh, sekiranya perlu, melanjutkan tempoh tersebut,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat. Usul bagi merujuk RUU berkenaan ke jawatankuasa itu kemudian diluluskan dengan suara majoriti Ahli Parlimen. “Mengikut peraturan mesyuarat 54 (2), usul ini hendaklah diputuskan dengan tidak dipinda dan dibahasakan,” kata Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul. Sementara itu, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata semua Ahli Parlimen pembangkang menyokong usul RUU dibawa Azalina itu dirujuk kepada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas. “Inilah amalan sepatutnya dibawa oleh pihak kerajaan. Kami sebagai semak dan imbang,” katanya. Jawatankuasa Pilihan Khas itu akan dianggotai Azalina, William Leong (PH-Selayang), Syahredzan Johan (PH-Bangi), Adly Zahari (PH-Alor Gajah), Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) dan Lo Su Fui (GRS-Tawau). Turut disenaraikan ialah Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Hamzah Zainudin (PN-Larut), Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Ronald Kiandee (PN-Beluran) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar). RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 bagi pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Feb lalu. Sebelum ini, Azalina berkata cadangan pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya bertujuan memperkukuh prinsip kebebasan institusi, selain memastikan ketelusan serta keadilan dalam sistem perundangan negara. Beliau berkata antara perkara utama dicadangkan termasuk pelantikan pendakwa raya oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicara atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, serta pemberian kuasa pendakwaan. RUU itu turut memperincikan kedudukan pendakwa raya setara dengan peguam negara dari segi hierarki dan perkhidmatan, selain menetapkan kriteria utama seorang pendakwa raya iaitu perlulah sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman dalam litigasi serta tempoh lantikan selama tujuh tahun.

Share this post: