Rundingan jajaran sempadan dengan Indonesia belum muktamad, kata Anwar
2026-02-04 - 05:16
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan sempadan yang disemak masih perlu dirujuk kepada DUN berkaitan dan seterusnya Majlis Raja-raja. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Rundingan dengan Indonesia berhubung jajaran sempadan melibatkan Sabah dan Sarawak masih berjalan dan belum dimuktamadkan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Anwar menafikan dakwaan pembangkang bahawa seluas 5,207 hektar tanah telah diserahkan kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung berhampiran Nunukan, dekat sempadan Sabah. Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa setakat ini apa yang dipersetujui hanyalah satu persefahaman antara kerajaan selepas bertahun-tahun tinjauan bersama dijalankan, namun ‘proses lain’ masih belum diselesaikan. Anwar menambah, di bawah perjanjian awal itu, Malaysia akan memperoleh tambahan kawasan tanah berdasarkan garis sempadan yang dipersetujui dengan Jakarta, termasuk di Pulau Sebatik dan segmen Sinapat-Sesai. Bagaimanapun, katanya, cadangan sempadan baharu itu masih perlu dirujuk kepada Dewan Undangan Negeri berkaitan dan seterusnya kepada Majlis Raja-Raja. BERITA LANJUT MENYUSUL