TheMalaysiaTime

Rundingan hasil Sabah 40% dipantau jawatankuasa teknikal, kata Mustapha

2026-03-12 - 00:04

Mustapha Sakmud berkata perbincangan tuntutan Sabah terhadap 40% hasil dari negeri itu harus dibuat sebaiknya untuk mengelakkan sebarang kesan pada masa depan. PETALING JAYA: Rundingan berhubung tuntutan Sabah terhadap 40% hasil dari negeri itu kini bergerak melalui beberapa jawatankuasa teknikal dengan garis masa dipantau mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud. Beliau berkata proses itu melibatkan beberapa mesyuarat utama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, selain kumpulan yang memperincikan formula pengiraan serta jumlah berkaitan. “Saya mengikuti secara dekat dan ini KPI saya sebagai menteri Sabah dan Sarawak untuk memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan,” katanya dalam temu bual dengan FMT Menurut Mustapha, setakat ini sekurang-kurangnya dua mesyuarat utama telah direkodkan, manakala beberapa jawatankuasa kecil turut ditubuhkan bagi memperhalusi aspek teknikal tuntutan tersebut. “Perbincangan tertumpu kepada dua perkara utama iaitu jumlah sebenar bayaran 40% yang layak diterima Sabah pada masa ini serta kiraan bagi tempoh terdahulu yang digelar ‘lost years’,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sepanggar. Beliau turut menekankan perbincangan berkenaan perkara itu harus dibuat sebaiknya untuk mengelakkan sebarang kesan pada masa depan. “Keputusan kita buat sekarang penting sebelum melangkah ke masa depan,” katanya. Pada 17 Okt tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad. Mahkamah mengeluarkan perintah mandamus yang memerintahkan kerajaan persekutuan menjalankan semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan serta bersetuju dengan hak 40% Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021 dalam tempoh 180 hari. Mesyuarat pertama jawatankuasa rundingan pemberian khas peringkat pegawai diadakan pada 17 Nov tahun lalu, menumpukan kajian semula nilai pemberian khas Sabah. Perbincangan terbaharu membabitkan isu berkenaan pada mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pada 2 Mac lalu. Baru-baru ini, timbul semula supaya gesaan Putrajaya memulakan pembayaran itu dan tidak dilengahkan, susulan timbul dakwaan kerajaan persekutuan memohon menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kinabalu. Dokumen dikatakan notis usul mengenai perkara itu ditularkan oleh Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau, menurut laporan media.

Share this post: