Rundingan asas perpaduan, menteri sifatkan dialog harmoni bukti kematangan
2026-03-19 - 04:41
Presiden Kuil-kuil Hindu dan Persatuan-persatuan Agama Hindu Malaysia N Sivakumar bersalaman dengan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abu Bakar selepas sesi dialog program Harmoni Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. PETALING JAYA: Rundingan terus menjadi asas penting kepada perpaduan negara, kata Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang mengulas dialog antara NGO Islam dan wakil komuniti India bagi meredakan isu sensitif kebelakangan ini. Aaron berkata pendekatan melalui dialog yang berlangsung semalam itu mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam mengurus perbezaan secara berhemah. Menurutnya, sejarah telah membuktikan asas perpaduan negara terbina melalui rundingan, tolak ansur dan persefahaman antara pemimpin pelbagai kaum sebelum kemerdekaan serta pembentukan Malaysia. Aaron Ago Dagang. Jelas Aaron, kesepakatan itu dimuktamadkan melalui penggubalan Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen tertinggi negara yang menjadi tunjang kepada kestabilan dan keadilan dalam masyarakat majmuk. “Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di samping menjamin kebebasan beragama, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, tanpa menafikan hak kaum-kaum lain. “Inilah formula unik Malaysia yang perlu terus difahami dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan. Pertemuan dialog Harmoni Madani itu antaranya dihadiri Persatuan-persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia. Aaron turut mengingatkan beberapa insiden tular berkaitan sensitiviti agama dan kaum kebelakangan ini menunjukkan keperluan memperkukuh ruang dialog, literasi perpaduan serta sikap saling menghormati. Katanya, kementerian komited menyediakan platform merapatkan jurang kefahaman antara rakyat, termasuk melalui Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama dan inisiatif Harmoni Madani. Sejak 2023, katanya, pendekatan lebih menyeluruh turut dilaksanakan dengan penekanan kepada konsep “Perpaduan Dalam Kepelbagaian” dan “Harmoni Dalam Kepelbagaian”. “Kita perlu mengurus perbezaan melalui musyawarah, bukan konfrontasi, kerana semua agama mengangkat nilai keamanan dan keharmonian,” katanya. Beliau menambah penghayatan Rukun Negara terus diperkasa sebagai asas kehidupan bermasyarakat, sambil menegaskan kepelbagaian Malaysia adalah kekuatan yang perlu diurus dengan hikmah.