TheMalaysiaTime

Rumah Bangsa selari tuntutan Islam, pemimpin Umno tepis dakwaan PAS

2026-03-13 - 07:13

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Khairuddin Aman Razali tegaskan bahawa agenda ‘Rumah Bangsa’ tepati saranan Islam. PETALING JAYA: Pemimpin Umno menegaskan ‘Rumah Bangsa’ selari dengan tuntutan Islam, menyangkal dakwaan bahawa agenda tersebut tidak berteraskan agama. Menegaskan usaha sedemikian menepati saranan Islam, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Khairuddin Aman Razali menganggap mana-mana pihak yang menolaknya dengan pelbagai alasan sekadar menunggang agama demi kepentingan politik. “Jika ada mana-mana orang politik Islam yang tolak (agenda menyatukan umat Islam) dengan pelbagai helah dan alasan, itu hanya membuka topeng sebenar mereka ... sama ada mereka (benar-benar) perjuang politik Islam atau hanya jadikan Islam tunggangan untuk kepentingan politik peribadi,” katanya kepada FMT. Terdahulu Hadi dilaporkan berkata, PAS tidak bersedia menyokong agenda ‘Rumah Bangsa’ anjuran Umno kerana menyifatkan platform tersebut tidak berteraskan Islam. Menurutnya, kesimpulan sedemikian dibuat susulan pemerhatian wakil yang dihantar pihaknya ke pertemuan parti-parti politik terlibat minggu lepas. Beliau mendakwa, tujuan pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha menganjurkan perpaduan Melayu atas semangat kebangsaan tanpa berteraskan Islam. Pada 5 Mac lepas, lapan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera pertama kali duduk semeja untuk mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama dan kaum menerusi pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Dalam pertemuan tersebut, PAS diwakili Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Share this post: