TheMalaysiaTime

Rujukan mahkamah untuk kejelasan, bukan keputusan muktamad, kata Ahli Parlimen

2026-01-30 - 03:36

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menyatakan pemahaman terhadap kedudukan undang-undang adalah perlu sebelum sebarang penyelesaian politik dan komersial boleh dilaksana. PETALING JAYA: Keputusan Petronas mendapatkan penjelasan kehakiman mengenai kedudukan kawal selia di Sarawak perlu dilihat sebagai langkah prosedur bagi membolehkan rundingan bermakna, bukannya serangan politik terhadap hak negeri, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim. Hassan berkata, kritikan tertumpu kepada pihak yang membawa perkara itu untuk tindakan mahkamah, terlepas pandang matlamat utama mengapa rujukan undang-undang berkenaan perlu dilakukan pada peringkat awal lagi. “Mahkamah boleh memutuskan, tetapi ia tidak boleh menyelesaikan (pertikaian berbangkit). Peranannya di sini adalah untuk menetapkan kerangka undang-undang mana yang terpakai supaya rundingan dapat diteruskan berasaskan landasan stabil.” Beberapa pemimpin Malaysia Timur sebelum ini mempersoalkan sama ada Petronas bertindak dengan kelulusan kerajaan persekutuan. Ahli Parlimen GPS, Willie Mongin dan Doris Sophia Brodie, keduanya mempersoalkan di Parlimen sama ada kerajaan persekutuan memberi keizinan terhadap langkah perundangan terbabit. Sementara itu, penulis minda terus berhujah bahawa Ordinan Perlombongan Minyak 1958 Sarawak kekal sah meskipun wujudnya Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA). Hassan berkata, kewujudan tafsiran undang-undang saling bercanggah yang sebenarnya menjadi punca mengapa penjelasan mahkamah tidak dapat dielak. “Selagi mana satu pihak bergantung kepada PDA dan pihak lain pula kepada ordinan negeri, rundingan akan terus berputar di takuk sama. Anda tidak boleh berunding secara bermakna jika tidak bersetuju dengan kerangka undang-undang yang digunakan.” “Beliau menekankan bahawa menyokong rujukan mahkamah tidak bermakna menganggap litigasi sebagai jalan penyelesaian. “Tidak ada keputusan menang-menang di mahkamah. Jika Petronas berjaya, Sarawak mungkin akan terus tidak berpuas hati dan bertindak balas secara politik. Jika Sarawak pula yang berjaya, Petronas terjejas dan aset strategik Malaysia melemah.” Justeru, proses undang-undang perlu difahami sebagai antara cara mencapai matlamat, namun bukannya matlamat akhir itu sendiri. Hassan menolak dakwaan tindakan mendapatkan penjelasan kehakiman bercanggah dengan perbincangan politik yang sedang berjalan, susulan pengisytiharan dibuat pada 21 Mei tahun lalu antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg. “Penjelasan (mahkamah) tidak menghentikan rundingan. Ia membolehkan rundingan dimulakan semula di atas landasan lebih kukuh,” katanya. Hassan berkata, tindakan menjadikan rujukan mahkamah itu sebagai satu skandal politik, berisiko menjejaskan matlamat tersebut. “Mempersoalkan siapa yang memberi kebenaran bagi tindakan berkenaan hanya akan mempolitikkan satu langkah teknikal bertujuan merungkaikan kebuntuan dalam perbincangan,” katanya. Hassan berkata, Petronas, sebagai entiti sah, berhak mendapatkan kejelasan mengenai obligasinya, dan tindakan tersebut tidak seharusnya digambarkan sebagai satu keangkuhan atau niat jahat. “Ini mengenai pemahaman terhadap kedudukan undang-undang sebelum memutuskan penyelesaian politik dan komersial “Tanpa kejelasan, kita hanya berhujah tanpa hala tuju,” katanya. Awal bulan ini, Petronas memfailkan usul di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai dalam mengawal selia operasi di Sarawak, bagi memastikan operasinya di negeri itu mematuhi undang-undang serta amalan tadbir urus ditetapkan. Syarikat minyak nasional itu menyatakan permohonan itu tidak berhasrat mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), pengagregat gas tunggal di negeri itu. Sebaliknya, bagi mendapatkan ketetapan muktamad Mahkamah Persekutuan mengenai kedudukan undang-undang terpakai bagi sektor petroleum di Sarawak.

Share this post: