TheMalaysiaTime

RPM 2026-2035 fleksibel, tak ukur murid dengan gred semata-mata, kata ahli akademik

2026-02-26 - 23:13

Vokasional tidak lagi boleh dianggap laluan gred kedua bagi murid, menurut Hasnah Toran. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Model lebih fleksibel menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 menyediakan peluang meningkatkan diri dengan lebih saksama kepada semua murid, kata ahli akademik. Hasnah Toran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) penekanan menyediakan murid kepada kehidupan bukan peperiksaan semata-mata tepat dalam konteks semasa, bukan setakat mengukur kejayaan melalui jumlah ‘A’. Menurutnya, murid kurang cemerlang dalam bidang akademik boleh meningkatkan diri dan menyerlah menerusi bidang vokasional digemari mereka. “Mereka akan minat belajar apabila kewujudan mereka diraikan. “(Sebelum ini) Apabila masyarakat berorientasikan peperiksaan, pelajar cemerlang akademik jadi ‘ayam tambatan’ di sekolah manakala mereka yang tidak cemerlang terpinggir,” katanya kepada FMT. Bagaimanapun, Hasnah berkata kejayaan transformasi itu turut bergantung kepada fleksibiliti guru dan ini memerlukan usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan kemahiran serta teknik pengajaran mereka. “Bukan itu sahaja malah perlu ubah persepsi erti pendidikan, contohnya vokasional lagi tidak dianggap laluan gred kedua bagi pelajar tetapi platform tingkatkan diri,” katanya. RPN 2026-2035 dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 20 Jan lalu yang antara pendekatannya tidak lagi tertumpu semata-mata kepada peperiksaan. Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 dilancarkan Anwar Ibrahim pada 20 Jan lalu. (Gambar Bernama) Pelan itu berperanan melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta berdaya tahan dengan berteraskan lima tumpuan utama termasuk mutu dan keluwesan. Melalui tujuh teras strategik dan lima aspirasi utama, pelan itu menyasarkan transformasi menyeluruh melibatkan sistem, prasarana, serta sinergi antara guru, industri, dan komuniti. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon pula berpendapat kunci kejayaan RPM terletak kepada sejauh mana guru ‘menghadam’ visi perancangannya. Katanya, ia dikhuatiri hanya akan menjadi perancangan cantik di atas kertas jika tanpa kefahaman jelas mengenai pelaksanaan di dalam kelas. Fouzi menggesa turut KPM menyediakan peruntukan latihan yang mencukupi bagi mempersiapkan guru dengan strategi pengajaran baharu. “Guru-guru sedia menerima latihan dan perubahan strategi mengajar jika pengurus sekolah tidak terlalu menekan dan perundingan secara kolaboratif dapat dilaksanakan. “Isu ‘burnout’ guru bukan berpunca daripada pentaksiran tetapi kerana tekanan emosi apabila pentadbir sekolah gagal berdiplomasi dan menghargai orang bawahannya,” katanya.

Share this post: